FORMASI menarik daripada warga kampus UMK.
PENYERAHAN pengiktirafan daripada MBOR.
Syarimie Wosley dan Nor Alizam Shafie

Pembentukan formasi reben merah jambu oleh 1,000 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai simbolik program Pink Walk 2016 berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Projek pembentukan formasi manusia bertema generasi celik kanser anjuran Kelab Kasih UMK itu disertai penuntut dari tiga kampus UMK di Bachok, Pengkalan Chepa dan Jeli.

Penasihat Kelab Kasih UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, rekod baru itu diiktiraf MBOR berdasarkan saiz pembentukan formasi manusia sepanjang 100 meter dan 55 meter lebar.

Menurutnya, program itu bertujuan menyampaikan mesej kesihatan terutama penyakit barah kepada warga UMK dan masyarakat dengan berpakaian sukan merah jambu yang menjadi warna rasmi kempen kanser payudara.

“Projek ini cuba memberi kesedaran mengenai pentingnya perkongsian untuk melahirkan generasi celik kesedaran kanser terutama payudara.

“Ia juga bermatlamat memupuk kesedaran peringkat awal supaya langkah pemulihan dan pencegahan penyakit itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya selepas menerima sijil daripada Ketua Penganalisis MBOR, Mohamad Alex Edward di UMK Bachok, baru-baru ini.

Turut hadir, penasihat program Pink Walk, Hafiz Muhammad Safri dan wakil Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Penyelaras program, S Logesh Kumar berkata, formasi reben merah jambu itu sebahagian usaha penuntut UMK menjayakan program kesihatan.

Program itu diharap dapat mendekatkan masyarakat dengan siswa selain memberi peluang kepada kedua-dua pihak mempraktikkan ilmu dipelajari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:01 AM