Matrang (dua kanan) bersama Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Zulkifli Yahya (dua kiri) di Majlis Pelancaran Operasi Pacak (OPS) Bersepadu 2016 di Dewan Wisma Kastam Padang Bongor, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga menjadi tumpuan dalam Ops Pacak Bersepadu yang bermula hari ini sehingga 31 Mei ini dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, lokasi itu dikenal pasti kerana dikesan aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok haram, mercun dan bunga api serta barang bersubsidi.

Katanya, seramai 120 anggota dari agensi terbabit akan bertugas 24 jam di tiga lokasi itu bagi membanteras rangkaian penjualan dan pengedaran barangan kritikal seperti rokok, mercun, bunga api, beras dan barangan subsidi oleh pengedar atau peruncit.

"Operasi khas ini adalah lanjutan dari Operasi Outlet yang dilancarkan secara besar-besaran sejak Januari 2015 dan ia bertujuan meningkatkan lagi penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok serta barangan kritikal lain yang diseludup,

"Sasaran Ops Pacak ini membabitkan kawasan 'hot spot' yang dikenal pasti aktiviti penyeludupan rokok haram, mercun dan bunga api, barang kritikal yang lain sertabarang bersubsidi.

"Dalam usaha membanteras kegiatan itu dalam Ops Pacak JKDM kerjasama Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM), Jabatan Imigresen, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Kepenggunaan(KPDNKK) dan Majlis KeselamatanNegara (MKN) bertindak secara bersepadu bagi menguatkuasaan undang-undang mengikut akta dan perundangan masing-masing," katanya pada Pelancaran Ops Pacak Bersepadu Peringkat Kelantan 2016 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Matrang berkata, bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi itu, beberapa strategi baru dirancang iaitu mana-mana peruncit yang ditangkap menjual, mengedar dan memiliki rokok tidak sah atau lain-lain barangan kritikal boleh direman dan didakwa di bawah Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 2:15 PM