MERAKAMKAN kenangan bersama sebahagian peserta kembara di kubu Qaibay, Iskandariah.

Kembara di bumi Mesir selama sembilan hari membuka pintu keinsafan kepada pengasas in­stitusi pendidikan awal Sazilina Mat Jinal dan ahli rombongan bersamanya betapa sukarnya nabi Allah SWT mengembangkan syiar Islam di bumi anbia itu.

Kalau mahu mencoret pengalamannya sepanjang perjalanan itu tidak cukup dalam ruangan yang disediakan ini. Cuma apa yang diharapkan pengalamannya dapat membangkitkan ilham kepada pembaca untuk menziarah bumi Mesir pada masa akan datang.

“Pemergian 85 ahli rombongan ke Mesir diuruskan Ustaz Aidil Fadzli Mesran, jutawan muda dan pemilik DC Universal Travel & Tours. Pelbagai tempat kami singgah, antaranya Semenanjung Sinai. Ketika tiba di Hotel Wadi Al Muqaddas kira-kira jam 4 petang, kami disambut dengan suhu dalam 15 darjah Celsius. Melihat hidangan makan malam sajian Pak Tam dan pelajar Malaysia dari University Al-Azhar, terus membuka selera kami dalam keadaan fizikal dan minda masih keletihan selepas menaiki bas berjam-jam lamanya.

Kami mula bergerak ke Bukit Tursina jam 10 malam tetapi dengan menunggang unta. Dua tiga orang dibawa oleh seorang jurupandu unta yang dipanggil mursid atau dalil daripada suku badwi Sinai.

Waktu itu bintang belum banyak kelihatan, bulan pula hanya separuh. Keadaan kelam menyukarkan kami untuk melihat situasi sebenar unta yang akan kami tunggang dan jalan yang kami lalui.

Mula-mula naik atas bonggol unta dah terkejut kerana tiada tempat berpegang seperti yang kami gambarkan. Bonggol unta hanya dilapik dengan kain yang dipanggil battaniyah dan karpet.

Tempat duduk ada dua batang kayu kecil sebagai pemegang di depan dan belakang unta atau kursiy gamal. Memang kami tak sempat melihat bagaimana lapik punggung berkenaan diikat pada badan unta. Apabila unta bangun kami dah rasa nak tergolek jatuh. Jantung terus berdegup kencang. Saya menunggu kira-kira lima minit di atas unta sebelum bergerak. Terasa kaku semua anggota. Kami terpisah antara satu sama lain. Ayah, ibu, anak, sahabat, suami dan isteri terpisah di dalam kegelapan.

Pada ketika itu, semua menjaga diri masing-masing dan berlawan dengan perasaan takut bersendirian. Unta mula menapak selangkah demi selangkah walaupun perlahan tetapi kaki unta yang panjang membuatkan kami yang menunggang terasa bergoyang kuat nak jatuh.

Apa lagi baru kali pertama menunggang unta, tekniknya masing-masing tak tahu. Kadang­kala memang terasa seperti nak teroleng jatuh. Allah sahaja yang tahu perasaan kami. Sayup di waktu malam di tengah-tengah gunung kedengaran suara jemaah berzikir, ada yang berzikir kuat, mengaji, menjerit, malah ada yang melatah terkejut sepanjang perjalanan.

Bila dikenang kembali terasa lucu, senyum sendirian dibuatnya. Satu yang pasti, semua jemaah dapat merasai bagaimana kesukaran Nabi Musa menaiki Bukit Tursina untuk bermunajat dan menerima kitab daripada Allah.

Perasaan menginsafi diri terasa jauh di sudut hati. Silap langkah unta walau setapak pasti kami akan jatuh ke dalam gaung yang dipenuhi dengan batu-batan tajam. Allahuakbar. Pada ketika itu wajah insan tersayang menyapa satu persatu. Berbicara sendirian memohon ampun kepada Allah dan memohon dipermudahkan dan selamat perjalanan musafir ini.

Kami sampai darjah pada check point pertama jam 1.30 pagi. Suhu ketika itu 5 Celsius hingga kesejukannya menyebabkan kaki dan tangan kebas. Kami duduk rapat-rapat di dalam bangsal yang disediakan untuk mendapat sedikit kehangatan.

Sambil berehat menahan kesejukan kotak fikiran berlegar-legar mengingat kembali ketika bersendirian dalam perjalanan hanya bertemankan seekor unta. Unta yang saya naik ‘co-pilot’ bermakna tiada mursid atau dalil pegang talinya.

Masih terasa ngeri bila kali pertama unta nak corner. Leher unta sudah melepasi gaung, waktu tu saya terus bersuara unta kona unta, kona. Apabila benar-benar badan unta sampai bucu jalan baru kaki unta memesong.

Masya-Allah, begini rupanya unta menapak. Unta padang pasir seolah-olah dah hafal jalan yang dilalui. Pada ketika itu hati saya memaksa untuk mempercayai unta yang ditunggang. Bermulalah episod saya berbicara dengan unta sepanjang perjalanan. Unta yang saya tunggang itulah sahabat ketika itu.

Perjalanan diteruskan ke puncak dengan berjalan kaki, lagi satu setengah ke dua jam mendaki 750 anak tangga. Bukan anak tangga sempurna tetapi berliku-liku dan tajam. Kadangkala ada yang tinggi dan curam.

Pada usia 44 tahun, tinggi 157 sentimeter dan berat 65 kilogram saya semput. Nafas tak boleh cakaplah kembang kempis macam ikan paus.

Hebatnya aura Bukit Tursina, jemaah pertama yang sampai ke puncak ummi Zaliyah berusia 70 tahun. Paling muda pula bayi Safiyyah, anak bongsu Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi. Kental sungguh ustaz Shahrizan, mampu mendukung anak kecil menunggang unta dan berjalan kaki meniti anak tangga mendaki dan menuruni bukit. Dalam kepenatan, beliau masih mampu mengimami jemaah di puncak serta memberi tazkirah untuk rakaman dokumentari TV Al Hij­rah.

Di puncak ada masjid bersebelahan dengan gereja Greek Ortodoks. Kami berkumpul di masjid itu, namun ada yang terpaksa bersejuk di luar kerana ruang yang terhad. Kami mulai tahajud secara berasingan. Masuk sahaja waktu Subuh, azan dilaungkan Mahamad Husin Awang Boon, ada sesuatu pada jiwa ketika itu. Air mata bergenang. Tak pasti apa, hanya perasaan sayu menyapa. Selesai solat Ustaz Shahrizan menyampaikan kuliah Subuh.

Selepas itu, kami ke luar masjid menunggu sesuatu. Beberapa saat lagi berlakunya proses matahari terbit dari ufuk timur. Terima kasih Allah masih meminjamkan kami udara untuk bernafas melihat kebesaran-Mu.

Suasana dalam kesejukan itu dirakam jurukamera TV AlHij­rah Mohd Shafiq Mansor dengan bantuan Pengarah Fotografi Abang Sabri Mat Esa dan Penerbit Abdul Hanan Abdul Rahman.

Terima kasih ya Allah kerana memanggil kami kembara menjejak kisah nabi sampai di puncak Tursina dan merasai keperitan Nabi Musa berdakwah menyampaikan syariat Islam kepada kaumnya.

Episod turun bukit membuatkan hati merintih sedih yang ketika itu memancar sinar mentari kekuningan. Jelas kelihatan bentuk muka bumi Bukit Tursina yang teguh, keras batu batannya dan hakisan yang terbentuk di celah-celah batu sangat cantik.

Bagaimanapun, perjalanan terasa lebih mengerikan kerana kami dapat melihat dengan jelas jalan yang dilalui berbatu-batan dan menyusuri gaung. Segunung doa juga jemaah lafazkan. Semoga semua selamat menuruni bukit. Pertengahan jalan beberapa jemaah turun daripada unta kerana tidak sanggup menahan ngeri.

Saya juga mohon daripada mursid atau dalil untuk turun tetapi pak Arab itu membuat endah tak endah. Rasa nak menjerit ketakutan. Sampai sahaja ke lembah, saya mengucap syukur. Terima kasih Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Baari kerana sayangkan hamba-Mu dan memberi pengajaran yang sangat bermakna sepanjang pendakian ini.

Meninggalkan kembara ilmu di bumi Mesir sesuatu yang istimewa. Kami menyahut cabaran mempertaruhkan simpanan masing-masing dengan satu tujuan untuk mengikuti kembara menjejak rahsia nabi di bumi anbia.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:00 AM