FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin
Norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang disyaki aktif melakukan kegiatan samun dan merampas pistol tiruan serta senjata api menyerupai model M-16, dalam serbuan di sebuah kedai aksesori kereta, di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, pihaknya membuat serbuan susulan kes samun kedai serbaneka di Alam Damai 2, Cheras, pada 5 Mei lalu dan polis berjaya mendapatkan imej suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipremis berkenaan.

Katanya, hasil risikan pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, juga berjaya mendapat maklumat lokasi suspek.

"Pasukan khas polis menyerbu premis aksesori kereta berkenaan dan berjaya menangkap suspek.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam premis berkenaan polis menemui, topeng muka, sarung tangan, papan nombor plat kereta, beg, sepucuk pistol tiruan tertera Pietro Baretta Gardone V.T Made In Italy, Rifle panjang berwarna hitam menyerupai M-16 dilengkapi teropong dan lampu suluh serta tiga kelopak kosong," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Hamid, siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam 15, kes samun di Cheras dan Kajang.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/97 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 2:11 PM