PERUT kembung menyebabkan rasa tidak selesa.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Pinggang ramping dan perut kempis menjadi idaman semua orang tidak kira lelaki ataupun wanita. Ia menjadi lambang bagi tubuh yang sempurna dan menawan.

Ramai sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan tubuh yang ideal termasuk mengamalkan diet ekstrim ataupun melakukan senaman berat dalam tempoh yang panjang setiap hari.

Namun ada kala perut buncit bukan disebabkan pengumpulan lemak sebaliknya ia berpunca daripada masalah kembung (angin).

Sistem penghadaman yang tidak lancar menyebabkan angin berkumpul di dalam perut, lalu menyebabkan perut kembung. Bukan saja masalah itu menimbulkan rasa kurang selesa, ia juga membuatkan perut kelihatan buncit, sekali gus merosakkan keyakinan diri seseorang untuk bergaya.

Bagaimanapun, di sini disenaraikan beberapa tip mudah yang boleh diikuti bagi mengurangkan masalah kembung seterusnya membantu seseorang memiliki perut kempis.

1. Mulakan hari dengan sarapan yang tinggi kandungan seratnya.

Ambil dua jenis serat pada waktu pagi untuk memastikan sistem penghadaman berjalan lancar. Kajian dijalankan Universiti Toronto, Kanada mendapati pengambilan dua jenis serat pada waktu pagi adalah cara paling berkesan mengurangkan masalah kembung.

Menurut Profesor Joanne Slavin yang juga pakar nutrisi dan sains pemakanan di Universiti Minnesota, serat bertindak menyerap air di bahagian kolon dan mempercepatkan pembuangan najis, seterusnya menjadikan badan lebih cergas.

2. Kurangkan pengambilan garam dalam makanan seharian

Garam menyebabkan air berkumpul di dalam badan, seterusnya membuatkan perut kelihatan lebih besar. Elak mengambil makanan yang mengandungi sodium yang tinggi dengan membaca label makanan terlebih dulu.

Rempah-ratus juga boleh ditambah bagi menyedapkan makanan seterusnya tidak membuatkan seseorang terlalu bergantung kepada garam bagi menambah rasa dalam makanan.

3. Amalkan makanan kaya potasium

Makanan kaya potasium seperti pisang dan kentang membantu menyingkirkan lebihan air di dalam badan seterusnya mengurangkan saiz pinggang.

Selalunya air berlebihan dalam badan disebabkan oleh kandungan dua mineral iaitu potasium dan sodium yang tidak seimbang. Apabila kandungan sodium terlalu tinggi, tisu badan memerangkap air.

Makanan yang memiliki potasium yang mampu menyeimbangkan sodium adalah pisang, kentang, betik, sos tomato, bayam dan oren.

4. Minum air sepanjang hari

Minum air yang cukup sekurang-kurangnya lapan gelas sehari akan membantu mengempiskan perut. Ini kerana apabila sistem tubuh mendapat air yang cukup, ia mampu membersihkan usus dan mengelak masalah sembelit.

Selain minum banyak air, pengambilan makanan kaya air dan serat seperti buah-buahan serta sayuran-sayuran banyak membantu.

Air sememangnya bagus untuk melancarkan sistem badan apatah lagi ia tidak mengandungi sebarang kalori, garam, gula atau pengawet.

5. Kurangkan pengambilan gula-gula dan minuman soda

Kurangkan pengambilan makanan dan minuman yang mengeluarkan gas seterusnya menggalakkan masalah perut kembung.

Selain itu, makan dan minum dengan gelojoh, menggunakan penyedut minuman dan mengunyah gula-gula getah juga menjadi punca kepada rasa kembung.

Cara terbaik mengatasi kekembungan adalah mengunyah makanan secara perlahan-lahan dengan mulut bertutup dan gantikan minuman berkarbonat dengan air kosong atau jus.

6. Amalkan yogurt

Ketidakseimbangan bakteria di dalam usus boleh menyebabkan sistem pencernaan menjadi perlahan, lalu membuatkan perut mengembung dipenuhi gas.

Yogurt yang mengandungi bakteria hidup yang juga dikenali sebagai probiotik mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

7. Mengambil lemak sihat

Pengambilan lemak sihat boleh membantu membakar lemak yang berkumpul di bahagian pinggang. Lemak sihat boleh didapati melalui pengambilan kacang badam, avokado, coklat gelap, kacang macadamia, mentega kacang, minyak zaitun, kuaci dan kacang walnut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:01 AM