Hafiz Ithnin
bisnes@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yakin pencarum yang beralih kepada Simpanan Syariah yang akan bermula pada Januari 2017 berpotensi mendapat pulangan seperti yang ditawarkan dalam pelaburan konvensional.

Ia sejajar dengan unjuran diletakkan badan pengurusan wang persaraan itu yang ingin mencapai 2.5 peratus pulangan dividen dari tahun ke tahun untuk platform konvensional.

Secara asasnya di dalam pelaburan patuh syariah sesebuah badan pengurusan dana tidak boleh meletakkan sebarang jaminan pulangan kepada pencarumnya berbanding potensi tertentu yang boleh diraih menerusi pelaburan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, dalam prestasi pelaburan aset sebelum ini menunjukkan ia mempunyai rekod pulangan yang stabil berbanding platform konvensional.

Beliau berkata, prestasi semasa KWSP dalam aset patuh syariah telah mencapai 45 peratus daripada keseluruhan aset yang dimilikinya dan ia dijangka berkembang pada masa depan.

“Dalam masa sama, kami tidak memaksa pencarum menukar platform simpanan mereka kepada patuh syariah dan ia terpulang kepada pemegang akaun untuk membuat keputusan apabila Simpanan Syariah diperkenalkan pada awal tahun depan,” katanya selepas Forum Kewangan Islam Global 5.0 di sini, semalam.

Dalam pecahan pelaburan sebanyak 40 peratus aset patuh syariah KWSP, simpanan tetap (50 peratus), ekuiti (42 peratus) dan aliran tunai (33 peratus). Badan simpanan persaraan itu turut merekodkan 45 peratus segmen pelaburan patuh syariah atau bernilai RM295 bilion.

Shahril berkata, dalam tinjauan dilaksanakan KWSP menunjukkan 70 peratus pencarum bersetuju menukar platform pelaburan aset mereka kepada patuh syariah dan ia menunjukkan perkara itu mendapat sambutan positif.

“Simpanan syariah tidak hanya terbuka kepada pencarum Muslim, tetapi turut terbuka kepada mereka yang bukan Islam juga memandangkan ia lebih bersifat stabil dan telus daripada segi pulangan kepada mereka.

“Tambahan, dengan pengenalan Simpanan Syariah, KWSP akan mempunyai dua jenis pulangan kepada pencarum bermula 2017 yang memberi pilihan kepada mereka untuk menyertai jenis pelaburan yang diinginkan sama ada konvensional atau patuh syariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:10 AM