MOHD Zubil (kanan) bersama Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya pada sidang media. FOTO Mohd Adam Arinin
MANGSA hilang disahkan selamat (dari kiri) David, Martha, Tommy dan Armella. FOTO ihsan APMM
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Empat individu termasuk dua warga Sepanyol yang hilang di perairan Kudat sejak 2 Mei lalu, disahkan selamat.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, Lam Wai Yin Tommy, 45; David Hernandes Gasulla, 30; Martha Miguel, 30; dan Armella Ali Hassan, 23, disahkan bersama sekumpulan nelayan di perairan Vietnam, kira-kira 8.30 pagi tadi.

"Sebelum itu, Kapal Maritim (KM) Bistari yang sedang membuat operasi mencari dan menyelamat mangsa, menahan kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara.

"Tekong kapal itu kemudian menghubungi rakan mereka yang berada di kapal lain menggunakan telefon satelit dipercayai untuk memaklumkan penahanan mereka.

"Bagaimanapun, kedengaran suara seorang wanita dan memperkenalkan diri sebagai Armella dalam Bahasa Melayu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, Armella turut memaklumkan berada bersama Tommy di dalam bot manakala pasangan warga Sepanyol, David dan Martha berada di bot yang lain.

"Mangsa kini berada di perairan Vietnam bersama kumpulan nelayan terbabit.

"KM Bistari dan Kapal Diraja (KD) Baung sedang dalam perjalanan ke sana untuk membawa pulang keempat-empat mangsa ke Kota Kinabalu," katanya.

Mereka dijangka tiba di sini esok pagi, katanya.

Pada 2 Mei lalu, keempat-empat mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan menaiki bot ke Tanjung Simpang Mengayau dari Pulau Balambangan, Kudat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 7:04 PM