Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barisan perenang negara yang bakal menyertai sirkit Eropah dalam usaha mereka meraih tiket kelayakan secara merit ke temasya Olimpik Rio sebelum tarikh tutup 3 Julai ini dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati bagi Chui Lai Kwan (gambar) apabila dia diketepikan daripada menyertai sirkit itu biarpun sudah melepasi masa kategori B dalam acara 50 meter gaya bebas.

Ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham menegaskan pemilihan atlet dibuat sepenuhnya MSN dan bukannya di bawah tanggungjawab Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

“MSN yang memutuskan senarai atlet yang akan menyertai semua pertandingan yang ditetapkan.

“Jadi tidak timbul isu mengapa ada perenang yang diketepikan daripada menyertai pertandingan itu.

“Jika ada tidak puas hati boleh berhubung dengan MSN,” katanya.

Hanya lima atlet terdiri daripada Welson Sim, Kevin Yeap, Wong Fu Kang, Khoo Cai Lin dan Erika Kong yang akan ke Eropah untuk menyertai sirkit Mare Nostrum bulan depan membabitkan pertandingan di Barcelona, Monaco dan Cannes di Perancis.

Pemilihan itu dibuat MSN berdasarkan senarai atlet yang berjaya meraih pingat di Sukan SEA 2015.

Justeru tidak ada isu mengapa Lai Kwan tidak dihantar berikutan atlet berusia 26 tahun itu meraih pingat ketika di Sukan SEA dan hanya menamatkan saingan di kedudukan keempat dalam acara 50m gaya bebas di Singapura.

Begitupun Lai Kwan berjaya meraih tiket bagi kategori B ketika beraksi di Sukan SEA Singapura apabila merekodkan 25.82 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 7:25 AM