MARINA (kiri) beramah mesra dengan pemain tenis negara ketika meninjau latihan untuk persiapan Sukan SEA 2017.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Semangat atlet negara tinggi.” Itu pandangan Chef-de-Mission (CDM) Sukan SEA 2017 Datuk Marina Chin terhadap persiapan atlet Fasa 1 program Kita Juara yang bermula sejak September tahun lalu.

Jelasnya, beliau sudah melakukan lawatan dan tinjauan terhadap 15 jenis sukan dan merumuskan semuanya mempamerkan semangat yang tinggi.

“Mereka sedar Sukan SEA di tempat sendiri dengan ramai peminat akan memberikan sokongan. Mereka mungkin sedikit tertekan namun pada saya ia sesuatu yang positif kerana mendapat sokongan peminat tempatan.

“Saya rasa ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka untuk lebih serius dalam latihan dan berusaha lebih gigih supaya tidak menghampakan rakyat Malaysia,” kata Marina selepas meninjau persiapan skuad tenis semalam.

Malaysia meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan yang dijadualkan berlangsung Ogos tahun depan.

“Dalam sukan, tiada tekanan bermakna tidak akan ada prestasi baik. Saya sendiri ada tekanan namun ia tidak akan menjejaskan sehingga mengganggu melaksanakan tugas.

“Saya sebaik mungkin cuba tidak memberi tekanan yang negatif sebaliknya memberi sokongan, motivasi dan bantuan,” tambahnya.

Fasa 1 program akan berakhir September nanti disusuli Fasa 2 pada Oktober ini hingga Mac 2017 manakala Fasa 3 dari April hingga September 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 7:23 AM