RAMAI yang masih belum matang ketika dikahwinkan.
PADA usia yang masih sangat muda, ramai remaja perempuan Iraq dipaksa berkahwin.
TERPAKSA menjadi ibu pada usia muda memberi tekanan kepada ramai remaja.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Aziza tersenyum melihat gambar anaknya yang tersimpan dalam telefon bimbitnya. Dalam gambar itu anak perempuannya, Layla yang ketika itu berusia 14 tahun mengenakan gaun satin merah jambu sambil tersenyum tawar.

“Ini gambar ketika majlis pertunangannya. Tunangnya berumur 22 tahun. Berkali-kali keluarganya datang meminang anak saya. Apabila mereka datang kali ketiga, kami mengalah dan menerima pinangannya,” kata ibu muda berusia 35 tahun itu.

Pada mulanya, sukar juga untuk Aziza dan ibu bapa tunang anaknya meyakinkan pasangan berkenaan untuk menerima ikatan yang diatur oleh keluarga itu. Sebaik mereka bersetuju, kedua-dua belah pihak mencari tarikh sesuai supaya mereka boleh dinikahkan segera.

Sebenarnya itu bukan kali pertama Layla dipinang. Ibu bapanya sudah menolak banyak pinangan ketika tinggal di Mosul, kampung asal mereka sebelum melarikan diri selepas mendengar cerita pejuang IS mahu menakluk bandar kedua terbesar Iraq itu pada 2014.

Sejak itu, Aziza, suami dan enam anaknya tinggal di kem perlindungan di wilayah Kurdish. Mereka antara sejuta rakyat Iraq yang tinggal di kem perlindungan kerana konflik.

“Dulu antara sebab kami tinggalkan Mosul kerana saya tidak mahu Aziza berkahwin sebelum tamat sekolah. Tetapi di sini, kami tiada pilihan, terpaksa terima pinangan yang datang,” katanya.

Bagaimanapun, nama sebenar Aziza dan Layla dirahsiakan bagi melindungi identiti mereka kerana bimbang sebarang kesan yang tidak diingini berlaku.

Seperti di Afrika, perkahwinan kanak-kanak juga bukanlah sesuatu yang asing di Iraq. Aziza sendiri berkahwin ketika berumur 16 tahun, namun ketidakpastian masa depan di negara yang hancur akibat peperangan, keganasan dan kemelesetan ekonomi menjadikan perkahwinan bawah umur lebih rancak.

Menurut laporan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2014, di seluruh dunia, lebih 700 juta wanita berkahwin sebelum berumur 18 tahun. Lebih satu dalam tiga berkahwin sebelum usia menginjak 15 tahun.

Walaupun had umur minimum untuk berkahwin di Iraq ialah 18 tahun, tetapi remaja perempuan dibolehkan berkahwin pada usia 15 tahun dengan kebenaran ibu bapa. Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan hampir satu dalam lima wanita berkahwin sebelum berusia 18 tahun.

Perlindungan moral dan sosial

Pekerja bantuan di kem pelarian dan perlindungan yang melihat kepada pening­katan jumlah perkahwinan bawah umur berkata, kebanyakan ibu bapa berharap anak perempuan mereka mendapat perlindungan daripada gangguan dan keganasan seksual yang lebih baik sekiranya berkahwin.

Ada juga ibu bapa yang terdesak untuk mengikis kemiskinan hidup. Mereka melihat wang hantaran sebagai antara cara mudah mendapatkan wang yang akan dirasai oleh ahli keluarga lain.

Kurang pendidikan turut menjadi faktor yang merangsang kepada perkahwinan bawah umur. Menurut laporan Save The Children, di Iraq, kebanyakan kanak-kanak perempuan bersekolah sehingga berumur 10 tahun.

“Sebelum konflik mereka ada masa depan... sekarang, pilihan yang ada hanyalah berkahwin. Ada yang berkahwin pada usia 12 tahun kerana bapa mereka beranggapan anak-anak ini akan selamat jika berkahwin,” kata Pengarah Perkhidmatan Psikologi SEED, satu badan kebajikan tempatan, Rezhna Mohammad.

Tinggal di kem perlindungan memang tiada privasi kerana mereka terpaksa berkongsi tandas dan bilik mandi. Ini menimbulkan ketidakselesaan kepada golongan wanita kerana mereka terpaksa berdepan dengan lelaki bukan mahram ketika menggunakannya.

“Mereka mahu wanita dilindungi - mendapat perlindungan sosial dan moral. Mereka kata, caranya adalah dengan berkahwin. Bagi penduduk Iraq yang melarikan diri ini, faktor ekonomi yang paling menekan kerana mereka tidak mempunyai apa-apa langsung termasuk kad pengenalan diri,” kata Rezhna.

Dengan membenarkan anak perempuan berkahwin, ibu bapa menaruh kepercayaan kepada pihak lelaki kerana si anak tadi akan tinggal bersama keluarga mentua. Bagaimanapun, keadaan ini biasanya akan membuatkan anak perempuan itu terpisah daripada keluarga dan rakannya, apatah lagi jika keluarga mentua tinggal di kem lain yang hanya akan menambah trauma kepada pengantin remaja, kata pakar hak asasi.

Tiada jaminan bahagia selamanya

Berkahwin terlalu awal bukan hanya menyekat peluang remaja perempuan untuk belajar, tetapi ia juga mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan mahupun kematian ketika bersalin jika mengandung sebelum badan cukup matang untuk hamil.

“Kadangkala remaja perempuan ini tidak boleh menyusukan anak dan tidak tahu bagaimana hendak berhubung dengan bayinya. Jadi ahli keluarga yang terpaksa membantu menjaga si bayi dan keadaan ini kadangkala menimbulkan ketegangan dalam keluarga.

“Status remaja ini sebagai ibu dan isteri kadang-kadang mengelirukan mereka. Ramai yang tidak faham mengapa mereka tidak dapat lakukan apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Bahkan, pengantin bawah umur ini juga berada pada tahap lemah dan berisiko tinggi mengalami penderaan domestik atau keganasan seksual selain jangkitan HIV.

Menurut pakar psikologi dengan agensi bantuan Terre des Hommes, penduduk Iraq melihat perkahwinan bawah umur ini sebagai budaya yang perlu diteruskan.

“Apabila kami tanya mengapa ibu bapa mengahwinkan anak yang masih remaja, ramai yang menjawab ‘ia sudah jadi budaya dan kami juga berkahwin pada usia begitu’,” katanya.

Bagi Layla yang kini berusia 16 tahun, dia sering mengancam keluarganya untuk lari dari kem perlindungan berkenaan, tetapi ia sekadar ancaman dan tidak pernah dilakukannya. Mujurlah ibu bapanya berubah hati dan memutuskan pertunangannya.

“Pada mulanya suami saya berasa tertekan dan terpaksa menerima pinangan untuk Layla. Namun, apabila Layla sudah bertunang, suami saya rasa sedih,” kata Aziza.

Sejak pertunangan itu diputuskan, beberapa lelaki datang ke rumah mereka untuk meminang Layla. Malah, salah seorang lelaki itu menawarkan hantaran RM16,215, tetapi ia ditolak dengan baik.

“Saya berjanji dengan diri sendiri, saya tidak akan mengahwinkannya sehinggalah dia tamat sekolah. Pendidikan itu penting dan walaupun saya sendiri tidak berpeluang bersekolah, sekurang-kurangnya saya boleh membantu anak saya terus belajar.

“Saya mahu mereka menamatkan persekolahan dan kalau boleh jadi jurutera atau doktor,” katanya tersenyum bangga. - Thomson Reuters Foundation

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:01 AM