PENINGKATAN sebanyak 187.1 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 31 aduan.
PENINGKATAN sebanyak 187.1 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 31 aduan.
PENINGKATAN sebanyak 187.1 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 31 aduan.

Sepanjang lima tahun lalu, sejumlah 335 aduan yang diterima Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) adalah berkaitan pendaftaran palsu kad SIM prabayar.

Tahun lalu saja, sebanyak 89 aduan diterima menyaksikan peningkatan 187 peratus berbanding tahun sebelumnya. CFM menasihatkan semua pengguna di Malaysia berhati-hati bagi mengelakkan maklumat peribadi seperti salinan kad pengenalan dan butiran lain disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengikut Garis Panduan Pendaftaran Pengguna bagi Perkhidmatan Prabayar Selular Awam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penyedia perkhidmatan atau wakil jualan tidak perlu membuat sebarang salinan MyKad pelanggan ketika pendaftaran.

“Penyedia perkhidmatan hanya perlu membuat pengesahan maklumat pengenalan diri yang diberikan oleh pengguna,” kata Pengerusi CFM, Megat Ishak Maamunor Rashid.

Selain itu, CFM menasihatkan pengguna membaca terma dan syarat dengan teliti sebelum menandatangani sebarang dokumen serta mendapatkan salinan dokumen yang ditandatangani untuk simpanan dan rujukan.

Pada 2015, CFM menerima sebanyak 89 aduan berkaitan masalah berkenaan. Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 187.1 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 31 aduan. Pendaftaran palsu kad SIM sejak lima tahun lalu seperti berikut:

“Sejak sedekad lalu, perkhidmatan kad prabayar adalah kaedah yang mampu milik buat pengguna untuk berhubung dengan keluarga dan rakan melalui panggilan suara dan khidmat pesanan ringkas (SMS),” kata Megat.

Penggunaan kad prabayar yang begitu meluas menjadikannya turut dijual di stesen minyak, kedai menjual surat khabar, pusat beli-belah, kedai runcit dan pelbagai tempat di seluruh negara.

“Berikutan permintaan perkhidmatan prabayar mudah alih yang semakin meningkat, terdapat ejen dan pengedar jualan yang menggunakan maklumat peribadi pengguna lain untuk membuat pendaftaran akaun palsu untuk pelanggan mereka terutamanya warga asing atas faktor untuk meningkatkan jualan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pengurusan Aduan dan Pematuhan CFM sentiasa bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk memastikan aduan yang dilaporkan pengguna melalui portal aduan CFM (www.complaint.cfm.org.my) dan e-mel (aduan@cfm.org.my).

“Semua aduan akan diselesaikan dengan cara yang adil dan menepati jangka masa seperti yang telah ditetapkan di dalam Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC),” katanya.

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan perlu melindungi setiap pelanggan mereka untuk mengelakkan penyalahgunaan dan pengubahsuaian maklumat peribadi berlaku.

Dalam GCC pada Bahagian 2, Klausa 2.3.4 menyebut penyedia perkhidmatan yang mewujudkan, mengendalikan, menggunakan atau menyebarkan maklumat pengenalan diri hendaklah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebolehpercayaannya.

Penyedia perkhidmatan hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya untuk melindungi daripada kehilangan, penyalahgunaan atau pengubahsuaian.

Jika penyalahgunaan maklumat pengguna berlaku, penyedia perkhidmatan perlu mematuhi garis panduan seperti yang telah dinyatakan di dalam GCC pada Bahagian 2, Klausa 2.3.5.

“Penyedia perkhidmatan perlu mewujudkan proses atau mekanisma yang bersesuaian supaya ketidaktepatan di dalam bahan maklumat pengenalan diri individu seperti maklumat akaun atau perhubungan boleh diperbetulkan,” katanya.

Proses terbabit perlu mudah digunakan dan memberi jaminan kesilapan sudah diperbetulkan.

Pada tahun 2015, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 50 kompaun berjumlah RM2.29 juta kepada syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran palsu kad SIM prabayar.

Sehubungan itu, syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengesahkan maklumat diberikan oleh bakal pelanggan mereka seperti maklumat MyKad atau dokumen pengenalan diri yang sah lain seperti pasport.

Proses terbabit dilakukan bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat pengguna yang juga perlanggaran syarat bagi lesen syarikat telekomunikasi seperti yang telah ditetapkan di bawah seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah untuk mengelakkan pendaftaran palsu kad sim prabayar

- Pastikan maklumat peribadi diambil oleh penjual perkhidmatan yang sah dan di kedai berlesen.

- Ambil nama dan alamat penjual perkhidmatan serta tarikh dan waktu kad SIM dibeli dan didaftarkan.

- Jangan beli kad SIM prabayar tanpa membuat pendaftaran.

Apa yang perlu dilakukan jika maklumat peribadi anda disalah guna pihak lain?

- Buat laporan kepada polis.

- Laporkan kepada penyedia perkhidmatan anda yang terdekat mengenai kecurian identiti.

- Dapatkan salinan dan nombor aduan untuk rujukan serta tanya jangka masa penyelesaian aduan.

- Jika terdapat sebarang aduan yang belum diselesaikan, laporkan kepada CFM.

Contoh penyalahgunaan kad sim prabayar dengan pendaftaran palsu

- Nombor telefon atas nama pengguna digunakan untuk aktiviti jenayah (penculikan, peras ugut, penipuan perbankan).

- Maklumat pengguna dijual kepada penjualan perkhidmatan.

- Nama pengguna digunakan untuk mengaktifkan nombor telefon individu lain (PATI, penjenayah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 6:02 AM
Skip this ad x