Halimah membaca doa Yasin sebelum rebah dan meninggal dunia.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Jitra: Rebah ketika membaca doa Yasin sebelum meninggal dunia dan sepanjang hidupnya sentiasa berpesan supaya meneruskan perjuangan mengembangkan syiar Islam.

Itulah Allahyarham Halimah Ramli, 58, yang videonya meninggal dunia ketika menyertai pertandingan Hafalan Doa Khusus dan Surah Pilihan di Surau Al Hikmah Kampung Seri Kemboja, Lembah Palas, Changlun Sabtu lalu tersebar di Facebook (FB) sejak malam Ahad lalu

Anaknya, Budi Ismail,32, berkata, ibunya sentiasa berpesan kepada mereka yang masih hidup jika dia sudah tiada nanti supaya meneruskan perjuangan mengembangkan ajaran Islam.

katanya, ibunya itu tidak dapat dicari ganti lagi kerana akhlaknya yang mulia dari segi pertuturan kata dan suka membantu.

"Malam sebelum ke pertandingan itu saya ada perasan ibu tidak berapa sihat tetapi dia tetap ingin pergi juga keesokan harinya.

"Bagaimanapun, ibunya tiba-tiba rebah ketika membaca doa Yasin pada pertandingan hafalan itu sebelum dikejarkan ke hospital namun gagal diselamatkan dan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Mahsuri, di sini, hari ini.

Budi berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan tidak berniat untuk menyebarkan video saat kematian ibunya dan meminta mereka yang mengenali arwah memaafkannya jika ada membuat kesilapan sepanjang hayatnya.

Katanya, ibunya turut dinobatkan sebagai johan pada pertandingan itu kerana mendapat markah tertinggi kerana kurang melakukan kesilapan.

Suami Halimah, Ismail Long,66, pula berkata, pada 1 Mei lalu, isterinya turut menjadi model jenazah ketika kursus menguruskan jenazah surau Sekolah Kebangsaan Bandar Darulaman Jitra dan memakai pakaian serba putih pada Jumaat sebelum pertandingan berkenaan.

Halimah selamat dikebumikan selepas Isyak Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:48 PM