FOTO ihsan pembaca
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 30 tahun nyaris dirogol seorang lelaki di tandas sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor jam 10 malam semalam.

Menurut sumber, ketika kejadian, dia memasuki tandas berkenaan dan melihat ada dua wanita lain ada di dalam tandas berkenaan.

"Ketika di dalam tandas, dia terdengar ada orang masuk ke dalam tandas. Ketika mahu keluar, tiba-tiba seorang lelaki berdiri di hadapan pintu tandas dalam keadaan tidak berbaju dan zip seluarnya terbuka.

"Lelaki itu terus menolak dan menarik wanita itu masuk ke dalam tandas. Wanita itu terpaksa bergelut sehingga ditarik ke pintu utama tandas dan lelaki itu mengunci pintu berkenaan.

"Selepas menjerit meminta tolong, lelaki itu telah membuka kunci pintu dan wanita itu berjaya lari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Lelaki berkenaan kemudiannya dipercayai melarikan diri ke arah deretan kedai di Bandar Baru Rawang.

Wanita itu cedera ringan termasuk bengkak kaki dan badan akibat pergelutan itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Rawang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kes ini juga viral di Facebook (FB) apabila pengguna dengan nama Dhiya Srikandi Qalbu mendakwa, wanita berkenaan ialah adiknya dan mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.

"Sebagai peringatan untuk semua supaya lebih berhati-hati.Saya kongsikan 'screenshot' adik saya lari menyelamatkan diri selepas bergelut dengan suspek dalam tandas. Nasib baik adik tak jadi mangsa rogol," katanya menerusi status di FB.

Dia turut berkongsi rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berdurasi enam saat ketika adiknya cuba melarikan diri sebaik berjaya keluar dari tandas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 3:14 PM