MOHD SANI BAHARUDDIN diarahkan menjalani pemeriksaan mental selama sebulan. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki pada 19 April lalu.

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan tertuduh diarah jalani pemeriksaan kesihatan selama sebulan kerana disyaki mengalami masalah mental.

Tertuduh, Mohd Sani Baharuddin, 60, didakwa dengan niat mendatangkan kecederaan parah terhadap S Samydore, 60, di tepi jalan hadapan kedai Taman Chandan Desa, Simpang Pulai, di sini, pada jam 7.50 pagi 19 April lalu.

Selepas pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan itu dibacakan, Mohd Sani mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali dihadapan Hakim Indra Nehru Savandiah dan tertuduh diwakili Muhammad Farhan Ahmad.

Nor Hamizah kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan Muhammad Farhan dalam rayuan untuk anak guamnya mengatakan tertuduh seorang pesara Juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sudah berkahwin serta mempunyai lima anak.

Muhammad Farhan juga memaklumkan dia diberitahu bahawa tertuduh mempunyai masalah mental serta penyakit sawan.

Namun, sebaik perkara itu dimaklumkan kepada hakim secara tiba-tiba Mohd Sani menjerit dalam kamar tertuduh menyebabkan pihak pendakwaan memohon mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Indra Nehru kemudian mengarahkan Mohd Sani menjalani pemeriksaan selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selain RM3,000 sebagai jaminan serta 9 Jun ini sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 1:47 PM