Tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, September tahun lalu, mengorbankan tujuh jemaah Malaysia. - Foto Fail
BERNAMA

Pasir Puteh: Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan wang pampasan untuk jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, pada musim haji September tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata, sehingga kini kerajaan belum menerima sebarang perkembangan mengenai perkara itu.

"Kita harap waris dan mangsa terbabit bersabar kerana kerajaan sedang berusaha mendapatkannya," katanya selepas majlis penjelasan isu semasa kepada lebih 100 guru di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai permintaan seorang waris mangsa di sini, supaya pemberian pampasan itu disegerakan.

Sebelum ini, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dilaporkan mengarahkan pemberian wang pampasan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan sebanyak SR1 juta.

Wang itu akan diberikan kepada keluarga setiap mangsa terkorban dan cedera serta mengalami kecacatan kekal akibat kejadian itu manakala mereka yang cedera ringan diberi pampasan SR500,000.

Tragedi pada 11 September itu mengorbankan lebih 100 jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan tiada kuasa untuk mendesak kerajaan Arab Saudi supaya mempercepat pembayaran pampasan itu dan berharap waris mangsa dapat bersabar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 8:23 PM