Anggota bomba, polis dan orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa. FOTO Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Pemandu van maut selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan lori sampah dalam kejadian di Batu 10 Jalan Tangga Batu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa Ezrie Abu Samah, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, van dipandu mangsa dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori sampah di tempat kejadian.

"Mangsa dari persimpangan lampu isyarat Sungai Udang menghala Bukit Rambai sebelum terbabit kemalangan dan tersepit ditempat duduknya kira-kira 15 minit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala pemandu lori sampah dan dua lagi penumpang hanya cedera ringan," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 2:23 PM