PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap ketika perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta program rasionalisasi subsidi adalah dua langkah berani dibuat kerajaan untuk berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu diakui sendiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim dalam perbualan baru-baru ini.

Beliau berkata, ekonomi negara akan menjadi seperti Greece sekiranya dua langkah berkenaan tidak dilaksanakan.

"Biarpun GST menyebabkan harga barang naik sedikit namun, ia memberi asas kekuatan kepada pendapatan negara.

"Bagaimanapun, pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kadar sifar GST juga mampu melindungi rakyat daripada tekanan GST," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Katanya, pelaksanaan dua langkah itu juga membolehkan kerajaan menjaga kebajikan penjawat awam menerusi kenaikan tahunan khas dan gaji minima yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 10:27 AM