PASUKAN unit penyelam dari TLDM dan APMM yang terbabit dalam usaha pencarian di perairan Simpang Mengayau, Kudat pada pagi tadi. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli
ema@hmetro.com.my


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah mengerahkan pasukan penyelam masing-masing untuk menjalankan operasi pencarian di perairan Simpang Mengayau bermula jam 7.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, seramai lapan penyelam ditugaskan untuk menjalankan operasi pencarian dengan membabitkan dua anggota dari unit penyelam APMM manakala TLDM seramai enam anggota.

"Operasi mencari membabitkan unit penyelam sudah dimulakan pada 7.30 pagi tadi di perairan Simpang Mengayau, namun belum ada sebarang keputusan lagi.

"Untuk pagi ini ada dua anggota APMM dan enam daripada TLDM terbabit dalam usaha pencarian berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, operasi menyelam itu membabitkan kedalaman antara 23 hingga 40 meter.

Terdahulu, Mohd Zubil berkata, pasukan penyelamat menerima petunjuk baru susulan penemuan sebuah bot dan dua enjin sangkut di 2.8 batu nautika di utara Simpang Mengayau oleh sekumpulan nelayan kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Operasi yang memasuki hari ketujuh itu adalah bagi menjejaki empat mangsa hilang iaitu pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun; warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Lam Wai Yin Tommy, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 10:15 AM