JASAD mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai tiba di Krematorium MBPJ. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Jasad mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak tiba di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jalan Tuanku, 3 petang tadi untuk upacara pembakaran pada 4.30 petang ini.

Jasad mendiang Dr Sundaran ditemani anak lelaki dan adik beradik lelakinya untuk upacara itu.

Difahamkan, abu mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai akan dibawa pulang ke kediamannya di USJ 2/4Q, Subang Jaya sebelum di larutkan di Pelabuhan Klang esok.

Turut memberi pemghormatan terakhir di Krematorium ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany, ahli keluarga dan kenalan rapat mendiang.

Sebelum ini, jadad Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu diterbangkan dengan C130 Hercules 9.50 malam tadi dari Pangkalan Udara Kuching ke Pangkalan TUDM Subang.

Jasad mendiang Dr Sundaran ditemui semalam bersama empat lagi mangsa nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, di Sebuyau, Sarawak.

Sehingga tengah malam tadi, seorang lagi mangsa, juruterbang pesawat malang itu, Kapten Rudolf Rex Ragas, belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 3:43 PM