Dang Setia

Saya gadis berusia 16 tahun dan menjalin hubungan dengan kekasih berusia 21 tahun. Kami kenal sejak berumur enam tahun lagi.

Hubungan bermula sebagai jiran dan rakan permainan. Apabila menginjak di tingkatan satu, hubungan kami bertukar kepada adik-abang angkat.

Orang tua saya kurang berkenaan dengan kekasih saya. Dia jiran dan keluarganya pernah bermusuhan dengan orang tua saya disebabkan isu tanah.

Tetapi kami tidak pernah campur urusan orang tua. Kami elak isu berkenaan apabila kami bertemu janji.

Saya dan dia kadangkala terpaksa tipu orang tua kalau ingin berjumpa. Saya tertekan Dang Setia.

FINA, Tanjong Kling, Melaka

Simpati Dang Setia apabila mengingatkan masalah hubungan dengan kekasih disebabkan persengketaan keluarga.

Macam kisah percintaan ‘Romeo dan Juliet’ pula yang mana permusuhan keluarga menyebabkan cinta terhalang.

Dalam kisah saudari dengan si dia terlalu awal untuk menimbang akan masa depan kerana usia saudari baru mencecah usia belasan tahun.

Sebaik-baiknya saudari fokus untuk menggapai impian demi masa depan lebih cemerlang. Mengenai percintaan, saranan Dang Setia sebaik-baiknya mengikut aliran masa mahupun situasi.

Bukan bermaksud Dang Setia setuju dengan sikap keluarga menghalang saudari dan pasangan bergaul dengan baik, cumanya meminta saudari lebih bersabar.

Pada masa sama, sebaiknya elak untuk masuk campur kerana takut lebih merumitkan keadaan.

Ambil pendekatan untuk menasihati tidak mengapa tetapi untuk campur tangan dengan berharap kedua-dua keluarga berbaik serta-merta itu pada Dang Setia lebih baik meminta bantuan mereka yang lebih dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 12:50 AM