LOKASI sebenar kes pembunuhan membabitkan seorang warganegara Indonesia di sebuah rumah sewa di Kampung Parit Haji Wahab, Parit Buntar. (Gambar kecil) Gambar wanita yang dipenggal tersebar di WhatsApp. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Bagan Serai: Seorang lelaki ditemui mati ditikam dibahagian dada di sebuah rumah di Kampung Parit Haji Wahab, Parit Buntar, dekat sinipagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, lelaki warga Indonesia berusia 32 berkenaan dipercayai ditikam rakan senegaranya ketika mangsa sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kes pembunuhan warga asing itu bagaimanapun tiada kaitan dengan beberapa keping gambar wanita dipenggal kepala yang viral dalam media sosial ketika ini.

"Orang ramai digesa menghentikan segera viral gambar seorang wanita dipancung kepala yang kononnya berkaitan satu kes pembunuhan warga asing di Kampung Parit Haji Wahab, di sini, semalam.

"Penyebaran gambar itu melalui laman sosial WhatsApp dan Facebook perlu dihentikan serta-merta kerana tidak tepat dan boleh menghadirkan kebimbangan masyarakat setempat," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengesahkan berlaku satu kes pembunuhan membabitkan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 32 tahun awal pagi kelmarin yang dipercayai dibunuh rakan senegara akibat cemburu.

"Mangsa dikenali sebagai Gumbrek Wibowo, 32, yang bekerja sebagai buruh binaan dan difahamkan sedang tidur di rumah sewanya sebelum ditikam rakan serumah dengan senjata tajam.

"Ketika kejadian dipercayai terdapat dua lagi rakan mangsa berada di rumah sama dan sedang tidur sebelum melarikan diri selepas kejadian," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 2:02 PM