KEBAKARAN merebak ke bandar lain seperti Anzac dari Fort McMurray.
KEBAKARAN berhampiran lapangan terbang menyebabkan semua penerbangan keluar masuk dari Fort McMurray dibatalkan.
PROSES memadamkan kebakaran hutan turut menggunakan helikopter.
PEMANDANGAN dari udara kebakaran hutan di Alberta.
API marak menghampiri kawasan penempatan di Fort McMurray, memaksa 88,000 orang berpindah.
RIBUAN penduduk meninggalkan Fort McMurray selepas diarahkan berpindah.
PEKERJA sukarela menyusun stok bekalan makanan untuk kegunaan penduduk yang diarahkan berpindah.
Agensi

Imej yang dirakam dari udara menunjukkan bertapa dahsyatnya kebakaran hutan di bandar Fort McMurray di wilayah Alberta, Kanada yang dijangka menjadi bencana semula jadi paling mahal ditanggung syarikat insurans.

Kebakaran yang tidak terkawal yang masuk hari keempat pada Rabu lalu menyebabkan perpindahan penuh 88,000 penduduk Fort McMurray.

Arahan pemindahan mandatori turut dikeluarkan di Anzac, Gregoire Lake Estates dan Fort McMurray First Nation.

Alberta diisytiharkan darurat tengah hari Rabu lalu.

Ketua kerajaan Alberta, Rachel Notley, kebakaran itu sudah memusnahkan atau merosakkan sekurang-kurangnya 1,600 struktur.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Alberta, Scott Long berkata, kebakaran berjaya dihalang daripada merebak ke kawasan bandar atas usaha keras pasukan bomba.

Menurutnya, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan daripada bencana berkenaan.

Dengan 1,600 bangunan musnah dan 19,000 lagi berdepan ancaman, penganalisis dan sumber industri berkata, kos yang ditanggung oleh pihak insuran dijangka menjangkau C$2 bilion (RM6.40 bilion).

Kebakaran hutan terus mengancam kawasan pinggir bandar sejak beberapa hari lalu apabila saiz kebakaran meningkat dua kali ganda.

Keadaan kering akibat pemanasan global menyebabkan situasi semakin buruk sehingga menyebabkan pemindahan besar-besaran dilakukan di bandar itu pada petang Selasa lalu.

Fort McMurray dikelilingi hutan di tengah kawasan pasir minyak - simpanan minyak ketiga terbesar dunia selepas Arab Saudi dan Venezuela.

Menteri hal ehwal perbandaran Alberta, Danielle Larivee berkata, api membakar secara aktif kawasan berpenduduk dan lebih 250 anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.

Gambar beberapa kenderaan dan rumah yang hangus terbakar serta tiang telefon dijilat api menunjukkan kesan dahsyat bencana berkenaan.

Bomba berusaha menyelamatkan infrastruktur kritikal termasuk satu-satunya jambatan yang menyeberangi Sungai Athabasca dan lebuh raya Highway 63, laluan utama keluar masuk ke bandar itu.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, bencana itu pasti mengambil masa untuk pulih.

“Keseluruhan komuniti 88,000 penduduk dipindahkan dan jumlah kerosakan sebenar masih belum diketahui.

“Apa yang pasti, mereka yang terjejas dengan kebakaran ini pasti sedang menderita,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:08 AM