Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Shah Alam: Seperti diduga Phee Jinq En (gambar) tidak berdepan masalah meraih pingat emas kedua peribadi di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia menerusi acara 50 meter kuak dada.

Selepas menghadiahkan emas sulung negara kelmarin menerusi acara 100m kuak dada, Jing En mencatatkan 32.06 saat untuk rekod baru kejohanan, menewaskan rakan senegara Erika Kong di tempat kedua, 32.91s dan atlet Indonesia At Vanessa Evato ketiga 33.86s.

Bagi Jinq En, pencapaian itu sesuatu yang dijangkakan berdasarkan reputasinya sebelum ini.

“Acara ini tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik jadi jika berjaya mencatatkan rekod baru kejohanan, itu satu yang memuaskan dan saya berpuas hati dengan catatan dilakarkan,” katanya.

Hari ini Jinq En akan turun sekali lagi dalam acara 200m kuak dada namun tidak berani menjanjikan emas buat negara berdasarkan saingan sengit perenang Thailand.

“Agak sukar untuk meraih emas atau mencatatkan rekod baru kerana ada perenang dari Thailand Phiangkhwan Pawapotako. Dia meraih perak di Sukan SEA lalu,” katanya.

Apapun Jinq En yang merekodkan catatan terbaik peribadi 2:34.37s dalam acara 200m kuak dada itu bertekad untuk memberikan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:08 AM