DE Paula (dua dari kiri), Cornthwaite (tengah) dan Dos Santos (tiga dari kanan) antara muka baru perkuat cabaran Selangor musim depan.

Shah Alam: Selangor tidak akan bergantung kepada seorang pemain saja untuk meledak jaringan!

Itu pendekatan yang akan digunakan ketua jurulatih Selangor Mehmet Durakovic bagi melonjakkan Merah Kuning dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Pada musim lalu, Selangor dilihat terlalu bergantung kepada penyerang Brazil, Paulo Rangel untuk meledak jaringan dan kini Merah Kuning kehilangan penjaring terbanyak Liga Super 2014 itu kepada Terengganu.

“Setiap pemain akan mencetuskan sistem berbeza. Kami akan cuba beberapa pendekatan selepas terlalu bergantung kepada seorang pemain (Rangel) musim lalu. Kami mempunyai skuad lebih besar musim ini dengan gabungan pemain tempatan lama dan muda.

“Malah, kami mempunyai Leandro (Dos Santos), pemain yang mempunyai kebolehan beraksi di beberapa posisi. Saya harap kami sudah mendapat pemain import dan tempatan yang tepat untuk mengharungi saingan musim depan,” kata Durakovic.

Walaupun merasai kehilangan Rangel, Durakovic mengucapkan selamat berjaya kepadanya dan berharap dia mampu meneruskan aksi cemerlangnya bersama Terengganu.

“Ini bola sepak, perpindahan pemain perkara biasa. Namun, saya harap penggantinya Guilherme (De Paula) mampu melaksanakan tugas seperti dilakukan Rangel musim lalu,” katanya.

Selain kehilangan Rangel, Merah Kuning turut melepaskan dua pemain kebangsaan S Kunanlan dan Mohd Farizal Marlias ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Namun, mereka turut mendapatkan beberapa pemain tempatan untuk menguatkan pasukan seperti Norazlan Razali, S Subramaniam dan K Thanaraj.

“Kami akan berlatih lebih keras dan berharap musim yang lebih baik diharungi tahun depan. Setakat ini saya gembira dengan pemilihan pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 6:54 AM