Kuala Lumpur: Kontrak RM64.2 bilion diberi kepada syarikat vendor Bumiputera dari 2013 hingga 2015 di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, pada tahun lalu saja, kontrak bernilai RM10.9 bilion dari 18 syarikat peneraju diberi kepada 2,670 vendor Bumiputera.

“Kerajaan berharap lebih banyak syarikat peneraju akan menyertai program itu tahun ini,” katanya selepas melancarkan GLC Explorace 2016, di sini, semalam.

Syarikat peneraju adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat multinasional atau syarikat tempatan yang dilantik dan menandatangani perjanjian persefahaman dengan kementerian berkenaan di bawah PPV.

Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbangkan penambahan peruntukan kepada vendor Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), beliau berkata ia bergantung kepada hasil program Bumiputera lain yang dilaksanakan di rancangan itu.

“Jika kita dapati ia berkesan dan melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah global, ada kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan (pertambahan peruntukan) untuk masa akan datang,” katanya.

Di bawah RMK11, kerajaan memperuntukkan RM61 juta untuk membantu vendor Bumiputera meningkatkan daya saing global mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berkata sejumlah 112 syarikat vendor baru dilantik oleh lapan syarikat peneraju terbabit dalam sektor minyak dan gas, perkhidmatan, telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi, pembinaan di samping automotif.

“Setakat ini, 833 daripada 2,670 syarikat vendor di bawah PPV membuka 24,967 peluang pekerjaan dan mencapai jualan bernilai RM7.67 bilion,” katanya.

GLC Explorace 2016 bertema Inovasi Ke arah Kemampanan Global yang berlangsung sehari itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Sime Darby Bhd dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

“Program seumpama ini diharapkan akan memberi sumbangan yang signifikan kepada usahawan Bumiputera terutama dalam memberi pendedahan dan peluang mengenai bidang keusahawanan serta meningkatkan jaringan kolaboratif sesama rakan perniagaan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:44 AM