ELEENA pertaruh single baru, Hanya Dirimu berduet dengan Mark Adam.

Soal glamor dan populariti jatuh nombor dua. Bagi pendatang baru dalam bidang hiburan tanah air, Eleena Harris, 20, apa yang penting lagu nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat.

Justeru, kata Eleena, dia tidak terkilan mahupun kecewa apabila ada pihak menganggap lagu nyanyiannya, Terlalu Rindu lebih popular berbanding dirinya.

“Sebagai penyanyi baru, saya sangat gembira apabila lagu Terlalu Rindu mendapat tempat di hati peminat selepas setahun diputarkan di corong radio tempatan.

“Apatah lagi, lagu Terlalu Rindu adalah sentuhan dan ciptaan sepenuhnya saya sendiri.

“Saya sangat berharap lagu ini dapat memperkenalkan nama saya dalam arena muzik tanah air,” katanya yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Mixology Music milik komposer DJ Fuzz .

Bukan sekadar menyanyi, Eleena yang bakatnya digilap menerusi pertandingan Amazing Talent ini juga berbakat sebagai pencipta lagu.

“Setakat ini, sudah ada 20 lagu dalam simpanan. Saya juga mencipta lagu untuk penyanyi lain seperti Nana Sheme, Tasha Manshahar dan Wannie Kayrie.

“Selain itu, saya turut mempertaruhkan single baru berjudul Hanya Dirimu dan berduet bersama penyanyi Mark Adam,” kata penuntut jurusan perakauan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.

Calon Top 5 ABPBH 29

Populariti lagu Terlalu Rindu turut membawa tuah kepada Eleena apabila namanya disenaraikan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 (ABPBH 29), sekali gus melakar sejarah dalam karier seninya.

ABPBH edisi ke-29 yang bertemakan #Respek bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Mei ini dan bakal bersiaran di TV3.

Dalam kategori itu, Eleena bersaing sengit dengan barisan calon Top 5 lain seperti Ayda Jebat, Aishah Aziz, Adira dan Dayang Nurfaizah.

Secara peribadi, Eleena mengakui dia tidak meletak harapan tinggi untuk memenangi kategori berkenaan.

“Tersenarai dalam kategori Top 5, ABPBH 29 sudah cukup bermakna buat saya.

“Persaingan bagi kategori ini sangat sengit terutama apabila adanya penyanyi senior, Dayang Nurfaizah.

“Diharap pencalonan ini dapat memperkenalkan nama saya kepada pencinta muzik tempatan,” katanya. - Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 12:28 PM