CHALET Emma Glorious Travel menawarkan rekaan menarik kepada pengunjung.
PENGUNJUNG berpeluang memegang anak penyu di Pusat Penetasan Penyu.
SUASANA riuh rendah orang ramai membeli ikan dan hidupan laut secara terus daripada nelayan bubu menarik perhatian.
ISTERI Asiran, Ramidah Rahim menunjukkan bubu ikan.
PENDUDUK melalui laluan di hadapan rumah yang dijadikan homestay di kampung Patau-Patau.
PEMANDANGAN indah di Pulau Papan.
Ainul Fatihah Mansor
ainul.fatihah@hmetro.com.my


Chalet di pulau, homestay di perkampungan air atau hotel di bandar. Pilihan di tangan anda berdasarkan minat, aktiviti ingin dilakukan dan kemampuan jika berkunjung ke Labuan.

Semua penginapan untuk pelancong itu mempunyai kelebihan masing-masing.

Chalet Emma Glorius Travel di Pulau Rusukan Besar yang hanya boleh dikunjungi melalui bot misalnya menawarkan aktiviti snorkeling, berkelah dan aktiviti pantai.

Homestay di Kampung Patau-Patau pula memberi peluang kepada pelancong merasai sendiri suasana kehidupan masyarakat tempatan yang tinggal di perkampungan atas air itu.

Pelancong yang mahukan penginapan di kawasan bandar pula boleh menginap di hotel bertaraf satu hingga lima bintang mengikut kemampuan masing-masing.

Yang pasti, Labuan mempunyai pelbagai aktiviti dan tempat menarik yang boleh diteroka.

Antara lokasi harus dikunjungi ialah Pantai Lubok Temiang yang cukup terkenal dengan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu.

Di sini, selain mendengar deruan ombak yang memukul pantai, keriuhan nelayan yang sibuk memunggah hasil tangkapan dari bubu selepas hampir seminggu sangkar itu ditinggalkan di dasar laut menarik perhatian.

Hasil tangkapan laut pelbagai jenis seperti sotong kurita dan ikan laut dalam yang mencecah sehingga 1,000 kilogram pasti mengujakan.

Melihat sendiri kesibukan nelayan di Pantai Lubok Temiang, sesuatu yang turut menarik perhatian penulis ialah kelincahan pemilik perusahaan bubu, Asiran Jamal, 44, memasang tali di hujung bot sebelum menariknya menggunakan kereta Proton Iswara.

Kata Asiran, kereta itu dibeli khas hanya untuk menarik bot kerana hasil tang­kapan yang banyak menyebabkan kekuatan kenderaan itu diperlukan untuk dibawa ke tapak jualan di Kampung Lubok Temiang.

Di tapak jualan pula, penduduk kampung dan pemilik restoran sudah menunggu untuk membeli ikan yang bakal dilambakkan pengusaha bubu.

Jelas mereka tidak sabar memilih dan membeli hasil tangkapan laut daripada satu-satunya aktiviti perusahaan bubu yang masih aktif di negara ini.

Sebaik ikan sampai di lokasi dan dilambakkan, pelbagai spesies hidupan laut berwarna-warni yang tidak pernah dilihat penulis sebelum ini berada di depan mata.

Saiznya juga besar, malah segar. Ada antaranya bersaiz setengah meter.

Harganya pula sangat murah. Jika di tempat lain, ia dijual RM30 sekilogram, di sini hanya RM15 sekilogram.

Malah, berbekalkan RM50, beberapa ikan bersaiz besar dan sederhana boleh dibeli seperti kerapu bara serta merah.

Menurut Asiran, dia tidak tergamak menjual hasil laut dengan harga mahal atas dasar perikemanusiaan.

Katanya, sejak dulu lagi dia lebih selesa menjual terus kepada penduduk tanpa melalui orang tengah yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Kadang-kadang ada antara orang kampung ingin merasai ikan tertentu, tapi tidak mampu beli kerana mahal.

“Bagaimanapun, di sini berbeza kerana semua orang boleh merasa ikan yang mereka mahu. Untung rugi serahkan saja pada Allah,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menariknya, lokasi jualan itu bukan saja dikunjungi penduduk kampung di kawasan berkenaan, malah pelancong yang ingin membawa pulang hidupan laut dengan harga jauh lebih murah berbanding di semenanjung.

Bagi penulis, ia satu daripada syurga makanan laut di Labuan.

Kata penduduk tempatan, tidak lengkap percutian jika berkunjung ke Labuan tanpa menikmati hidangan satak atau Slipper Lobster kerana ia mudah diperoleh di sana.

Pengunjung juga tidak perlu risau jika bajet percutian ke Labuan terhad kerana selain kos makanan murah, sewaan homestay juga menjimatkan.

Sebagai contoh, sewa bilik di homestay Kampung Patau-Patau hanya serendah RM60 sehari.

Homestay ini juga satu-satunya penginapan pelancongan di atas air di negara ini.

Selain murah, pengunjung juga dapat merasai pengalaman menginap di perkampungan air dengan layanan mesra daripada penduduk.

Pengunjung homestay ini juga boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk sama-sama membuat ambuyat, makanan tradisional masyarakat tempatan.

Pemandangan yang disajikan di homestay Kampung Patau-Patau juga cukup mengujakan terutama pada waktu senja dengan panorama indah matahari terbenam.

Jika ke Labuan, tidak sah jika tidak berkunjung ke tiga pulau menarik iaitu Pulau Kuraman, Pulau Papan dan Pulau Rusukan Besar.

Di Pulau Rusukan Besar terdapat pusat penetasan penyu yang menyediakan kawasan untuk haiwan itu bertelur, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha memastikan ia dijadikan tapak persinggahan penyu.

Penjaga pusat berkenaan, Zulkifli Nasir berkata, antara spesies penyu yang mendarat di pusat itu sejak diwujudkan pada 2011 ialah penyu agar dan penyu karah.

Menariknya, penulis berpeluang menyentuh dan meletakkan anak penyu di atas tangan, tetapi nak memegangnya perlu ada cara betul.

“Cincin dan gelang emas perlu dibuka sebelum memegang anak penyu kerana ia boleh menyebabkan ingatan haiwan itu hilang selama 35 tahun.

“Jika larangan itu dilanggar, ia akan menyebabkan penyu itu lupa di mana lokasinya menetas,” kata Zulkifli.

Selain melepaskan penyu, aktiviti lain yang boleh di lakukan di Pulau Rusukan Besar ialah snorkling, bermain bola tampar pantai dan bersantai dengan pemandangan laut membiru.

Pengunjung juga boleh menginap di chalet Emma Glorious Travel dengan rekaan dan warna menarik perhatian.

Chalet berwarna merah jambu ini menawarkan penginapan selesa selain pendingin hawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 12:20 PM