LOKASI pencarian yang masuk hari ketiga. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my


Kudat: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa termasuk tiga pelancong yang dilaporkan hilang ketika menaiki bot dari Pulau Balambangan ke Tanjung Simpang Mengayau, di sini, sejak Isnin lalu, diteruskan hari ini.

Pihak berkuasa membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meluaskan operasi SAR hari ini yang masuk hari ketiga.

Operasi SAR turut menggunakan sebuah helikopter AS365 Dauphine milik APMM dan pesawat Beachcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pegawai Operasi APMM Kudat, Leftenen Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, semua mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR dijalankan kira-kira 8 pagi tadi di lokasi pencarian baru yang diperluaskan sehingga ke perairan berhampiran Pulau Mantanani di Kota Belud.

"Operasi SAR yang dimulakan sejak kelmarin kini diperluaskan sehingga ke perairan berhampiran Pulau Mantanani di Kota Belud," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Semalam, operasi SAR empat mangsa di kawasan barat Simpang Mengayau seluas 750 batu nautika persegi.

Isnin lalu, warga China, Lam Wai Yin Tommy, 45; David Hernandes Gasulla (Sepanyol), 30; Martha Miguel (Sepanyol), 30; dan seorang rakyat tempatan dikenal sebagai Ella, 23, dilaporkan hilang pada 5.30 petang ketika dalam perjalanan ke Tanjung Simpang Mengayau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 9:50 AM