KAPAL tongkang diserah kepada wakil PT Brahma International. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Lahad Datu: Kapal tongkang Anand 12 milik Indonesia yang dikaitkan dengan insiden penculikan kumpulan militan Abu Sayyaf sudah diserahkan kepada wakil PT Brahma Inernational menerusi peguam yang dilantik selepas siasatan selesai.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan, Kapten A Razak Abd Rahman berkata, proses mengenal pasti identiti pemilik Tongkang Anand 12 berjalan lancar hasil bantuan Wisma Putra dan kerjasama baik antara dua negara.

"Tongkang terbabit ditemui APMM hasil maklumat orang awam sebelum dibawa ke Jeti Forcedo, Lahad Datu dengan bantuan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) pada 4 April lalu," katanya dalam majlis sidang media di Bilik Gerakan APMM Lahad Datu, hari ini.

Sementara itu, menurut Pegawai Penyiasat APMM, Leftenan Madya Maritim Mohd Eary Ismail, bahagian forensik APMM yang turut dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu melakukan siasatan terhadap tongkang terbabit bermula 5 hingga 7 April lalu.

"Namun pihak kita tidak menemui sebarang kesan dan bahan bukti selepas menjalani pelbagai prosedur forensik termasuk proses 'sweeping' terhadap arang batu dan sekitar kawasan ruang tertutup di dalam tongkang terbabit.

"Begitu juga dengan tali tunda yang turut diperiksa tidak mempunyai tanda ia dipotong. Pada 8 hingga 28 April siasatan kemudiaan menjurus kepada mengenal pasti pemilik sebenar kapal tongkang berkenaan," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 26 Mac lalu, Bot Tunda Brahma 12 dan tongkang Anand 12 yang membawa arang batu dari Kepulauan Borneo ke Filipina itu dirampas kumpulan militan Abu Sayyaf manakala 10 kru bot tunda warga Indonesia diculik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 5:39 PM