Nuizato (kiri) memperkenalkan siri terkini televisyen LCD Aquos.

Petaling Jaya: Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn Bhd (SRSSC) menyasarkan perolehan RM1 bilion pada 2015 dengan peningkatkan sehingga sembilan peratus berbanding tahun ini.

Pengarah Urusannya Hiroyuki Nuizato berkata, pihaknya turut mengunjurkan perolehan RM918 juta sebelum tamat tahun 2014 ini yang masih berbaki kurang sebulan lagi.

Tahun depan mungkin memberi cabaran kepada syarikatnya berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin berlaku perubahan harga.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mengulas berhubung harga produk itu selepas pelaksanaan GST pada tahun depan sama ada meningkat atau sebaliknya.

“Namun, berkemungkinan penjualan kami akan pulih selepas enam bulan pertama pelaksanaan GST itu apabila pelanggan mula berkeyakinan untuk membeli semula,” katanya selepas pelancaran beberapa produk terbaru jenama Sharp di sini, semalam.

Nuizato melancarkan produk terbaru Sharp menerusi barisan J-Tech membabitkan peti sejuk, penyaman udara dan siri terkini televisyen LCD Aquos.

Beliau berkata, pengenalan produk terbarunya itu dilihat mampu mengurangkan perbelanjaan bulanan pengguna terutama tahap penggunaan elektrik.

Menurutnya, peti sejuk barisan J-Tech mampu mengurangkan tahap penggunaan elektrik sehingga 77 peratus, manakala teknologi Plasmacluster Ion mampu menghapuskan 99 peratus bakteria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:04 AM