LUCE
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Petaling Jaya

Courts (Malaysia) Sdn Bhd komited untuk mencapai pertumbuhan signifikan dalam tempoh dua tahun terutama disumbangkan oleh segmen dalam taliannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Luce berkata, sudah tiba masanya Courts Malaysia memberi perhatian kepada pemasaran online kerana menjadi trend masyarakat global yang kebanyakan mereka sekarang membeli barangan menggunakan kaedah itu.

Katanya, konsumer di negara ini juga sudah menunjukkan kadar penembusan yang tinggi bagi pembelian online dan ia menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat hari ini.

“Kami akan menambah baik segmen online selain memberi tumpuan kepada 65 cawangan Courts Malaysia di seluruh negara dan kami melihat ia sebagai salah satu peluang mengukuhkan lagi jenama dengan lebih menyeluruh.

“Walaupun masih dalam fasa perancangan, kami mahu memudahkan pelanggan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai barangan serta produk yang dijual di Courts Malaysia menggunakan platform online,” katanya, kelmarin.

Menurutnya, Courts Malaysia tidak menyasarkan sumbangan yang besar daripada segmen online dan mudah alih kerana pihaknya mahu lebih ramai masyarakat mengenali jenama itu.

Luce berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjadi pemain utama di negara ini bagi jumlah cawangan, manakala sebagai pembekal barangan dalaman rumah dan elektronik, syarikat berada di kedudukan kedua di Malaysia.

Beliau berkata, bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2015, pihaknya merancang membuka lima cawangan Courts Malaysia di seluruh negara.

“Kebanyakannya adalah cawangan pada saiz sederhana dan dari segi pelaburan pula ia bergantung kepada saiz serta reka bentuk,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, Luce berkata, pihaknya tidak merancang untuk menaikkan harga.

“Kami akan cuba menyerap kos yang ada kerana mahu mengekalkan harga terendah di pasaran. Malah, setiap musim perayaan Courts Malaysia menawarkan harga promosi yang sangat menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:02 AM