Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Sudah pasti produk yang ditunggu, Samsung Galaxy S7 memberi kepuasan kepada si pemakai, apatah lagi dengan pelbagai ciri baru yang menjadikan telefon seakan ‘super power’.

Kemampuan kamera S7 lebih baik apabila apertur seluas f1.7 memasukkan lebih banyak cahaya untuk merakam lebih jelas dalam situasi gelap.

Ciri itu membolehkan rakaman foto ketika dalam pencahayaan malap kini bukan lagi masalah kerana ia membenarkan lebih 56 peratus cahaya masuk berbanding S6.

Sementara ciri dinamakan Phase Detection Pixel menjadikannya 100 peratus lebih baik berbanding model lama.

Tidak dilupakan, ciri Motion Panorama dan Selfie Flash yang baru membolehkan pengalaman lebih bermakna kepada pengalaman merakam hanya dengan menggunakan telefon pintar.

Ciri rekaan yang menarik dengan bahan buatan bermutu tinggi menjadikan telefon ini lebih menawan kepada pengguna.

Kalau dulu, lensa pada kamera belakang agak tersembul, kali ini ia lebih nipis dan seakan-akan tidak kelihatan dari pandangan tepi.

Telefon ini juga mengembalikan semula slot kad memori mikroSD untuk membolehkannya menampung kapasiti storan sehingga 200GB.

Menariknya, Samsung juga menetapkan standard IP68 pada S7 untuk menjadikannya kalis air dan habuk.

Mengapa ia penting terutama kepada pengguna Malaysia? Samsung sebelum ini pun sudah memiliki ciri terbabit pada model S5, namun ia dibuang pada S6.

Tabiat pengguna di negara ini yang mungkin sering lalai ketika memegang telefon terutama dalam tandas atau ketika hujan memerlukan ciri terbabit.

Samsung turut memperkenalkan ciri baru sempena penambahbaikan sebanyak 30 peratus pada CPU dan 60 peratus pada GPU berbanding S6 apabila memasukkan fungsi ‘game launcher’ atau pelancar game yang menempatkan aplikasi game yang popular dalam kalangan pengguna telefon pintar.

Pelancar game juga akan menentukan sekiranya pengguna mahu mengoptimumkan kecerahan, penjimatan bateri atau menutup sebarang notifikasi sekiranya sedang bermain game.

Slot tambahan yang ditempatkan di bahagian atas bersama slot kad SIM memberi nafas lega apabila kebanyakan pengguna yang berselfie, memasang banyak aplikasi dan kandungan mewah memerlukan memori tambahan.

Sudah pasti, ia langkah paling tepat Samsung mengembalikan semula ciri penting berkenaan.

Samsung tidak menyediakan slot terbabit pada model sebelum ini dan bergantung harap hanya pada storan dalaman 32GB.

Skrin home dan kunci yang boleh diubah mengikut cita rasa anda pasti memberi kelebihan tersendiri ditambah pula gabungan bersama OS Android 6.0 Marshmallow memang menawan.

Telefon ini dijual pada harga RM2,699 dan ia sangat berbaloi sekiranya dilihat pada ciri yang dimuatkan di dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 11:26 AM