PERBINCANGAN membabitkan kawasan pencarian yang lebih luas di lokasi kejadian. FOTO ihsan APMM
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


Kudat: Pihak berkuasa hari ini meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) empat individu termasuk tiga warga asing yang dilaporkan hilang ketika menaiki bot dari Pulau Balambangan ke Tanjung Simpang Mengayau, di sini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, mangsa masih belum dijumpai sehingga 8.15 pagi tadi.

"Pencarian diteruskan di sektor baru barat Simpang Mengayau seluas 750 batu nautika persegi membabitkan beberapa asset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"SAR ini juga turut dilakukan menerusi tinjauan udara menggunakan helikopter Dolphin," katanya, ketika dihubungi di sini, hari ini.

Isnin lalu, warga China, Lam Wai Yin Tommy, 45; David Hernandes Gasulla (Sepanyol), 30; Martha Miguel (Sepanyol), 30; dan seorang rakyat tempatan dikenal sebagai Ella, 23, dilaporkan hilang pada 5.30 petang ketika dalam perjalanan ke Tanjung Simpang Mengayau.

Berita berkaitan

Empat pelancong dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 10:13 AM