Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yakin syarikat dana persaraan kerajaan itu dapat terus memberikan kadar pulangan dua peratus melebihi kadar inflasi pada tahun ini meskipun wujud turun naik dalam pasaran ekuiti tempatan dan global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, sasaran utama adalah menjana ‘kadar inflasi ditambah dua peratus’ yang menentukan sumbangannya kepada pelabur menyebabkan KWSP berprestasi lebih baik dalam tempoh lima hingga enam tahun lepas apabila ia mampu memberikan pulangan lebih tinggi iaitu ‘inflasi campur 4.0’.

Beliau berkata, pada suku pertama 2016, prestasi pasaran ekuiti adalah sedikit mencabar dan dilihat sebagai situasi sukar bukan sahaja kepada KWSP, namun ia turut memberi kesan kepada mana-mana pengurus dana pelaburan di seluruh dunia.

“Jadi, kami mengharapkan dengan segala cabaran yang dilalui dalam tempoh berkenaan dapat memberikan semangat dalam memfokus kepada sasaran inflasi ditambah dua peratus itu dalam memastikan pencapaian pertumbuhan cemerlang untuk pelabur dan ahli-ahli untuk jangka masa panjang,” katanya pada sidang media Dana Laporan Tahunan KWSP 2015, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif Bahagian Operasi KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish dan Timbalan Ketua Pegawai Ekekutif Bahagian Pelaburan KWSP Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Dalam perkembangan lain, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar inflasi negara berkembang sekitar 2.5 peratus hingga 3.5 peratus pada tahun ini menerusi rangsangan ekonomi yang semakin bertambah baik ketika ini.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2015 dengan tema Memperkasakan Persaraan Anda mencatatkan peningkatan 4.91 peratus caruman tahunan kepada RM59.98 bilion berbanding jumlah pengeluaran RM44.25 bilion, sekali gus merekodkan aliran masuk bersih RM15.73 bilion.

Selain itu, KWSP turut melaporkan kenaikan 7.54 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM684.53 bilion berbanding RM636.53 bilion pada 2014 dan menutup akaun tahun lalu dengan pendapatan pelaburan kasar RM44.23 bilion berserta pulangan pelaburan 7.48 peratus.

Sementara itu, Shahril Ridza berkata, dalam mempertingkat lagi prestasi semasa KWSP, syarikat dana persaraan kerajaan itu merancang meningkatkan pelaburan domestik jangka panjangnya bagi mempelbagaikan portfolio, terutama aset inflasi seperti utiliti, infrastruktur, lebuh raya dan tenaga.

Selain itu, antara pencapaian terbaik KWSP pada 2015 adalah pengisytiharan kadar dividen 6.40 peratus dengan jumlah dividen dikreditkan ke dalam akaun ahli berjumlah RM38.24 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:06 AM