BERNAMA

Ipoh: Sebuah makmal mini memproses dadah syabu berjaya dibongkar dan lima lelaki ditahan di tepi bangunan di Lebuhraya Ipoh-Lumut di Jelapang di sini, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak hari ini, penahanan lelaki terbabit serta rampasan syabu seberat empat kilogram itu dibuat kira-kira 6.30 petang.

Dalam serbuan itu, polis merampas bekas kaca dan bekas plastik berisi cecair perang Methamphetamine Oil seberat 11.9 kilogram dan guni plastik dipercayai berisi serbuk soda.

“Peralatan memproses dadah turut dirampas iaitu cecair Aseton, dapur masak, kabel elektrik, silinder kaca, penapis plastik, penimbang digital, plastik lutsinar, sarung tangan, termometer, pencorong dan senduk plastik serta tiga motosikal," menurut kenyataan itu.

Ujian saringan awal ke atas suspek mendapati kesemua mereka positif syabu dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah, termasuk berkaitan dadah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan Twitter beliau mengesahkan rampasan serta tangkapan itu dan mengucapkan tahniah kepada

polis Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 9:34 PM