Marini menjangkakan jumlah penonton dan kutipan akan meningkat. FOTO youtube.com
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kutipan untuk filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) kini menjengah ke angka RM2 juta selepas lima hari ditayangkan di Malaysia.

Jumlah itu disahkan oleh Pengurus Besar Inovasi dan Pengedaran Primeworks Studios, Marini Ramlan.

Menurutnya, pihaknya gembira dengan jumlah kutipan itu namun masih menantikan jumlah selepas seminggu tayangan.

"Alhamdulillah, jumlah RM2 juta itu di luar jangkaan. Namun, kami masih menunggu tempoh seminggu untuk melihat jumlah kutipan, memandangkan ada beberapa filem hebat lain yang ditayangkan pada masa saya," katanya ketika dihubungi.

Tambah Marini, antara penyumbang kepada jumlah kutipan yang tinggi itu adalah apabila ramai penonton yang menonton AADC2 lebih daripada sekali.

"Selain peminat lama yang mengikuti AADC pertama, ramai juga penonton generasi baru yang berulang kali menonton. Nampaknya, AADC2 berjaya memikat hati mereka untuk datang ke pawagam," katanya lagi.

Marini juga menjangkakan jumlah penonton dan kutipan akan meningkat memandangkan filem ini masih ditayangkan di 100 pawagam di seluruh negara.

AADC2 arahan pengarah Riri Riza ini mengisahkan mengenai kisah cinta Cinta dan Rangga yang terpisah dan kembali bertaut selepas 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 5:55 PM