KETUA Menteri, Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. FOTO Yazit Razali
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Serian: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mencabar PKR dan DAP menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Selangor dan Pulau Pinang terlebih dulu sebelum berhajat melaksanakannya di Sarawak.

"Saya cabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng dan Menteri Besar Selangor , Azmin Ali buktikan dapat hapukan GST di negeri mereka.

"Pembangkang berjanji sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) akan hapuskan GST.. jadi buktikan di negeri mereka dulu.

"Mereka hanya boleh bercakap dan mengelirukan rakyat. Hakikatnya tidak dapat melakukannya kerana mereka bukan Kerajaan Persekutuan, mereka tiada kuasa," katanya ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sorak Dayak di sini, hari ini.

Adenan berkata, pembangkang menjadikan isu GST sebagai modal kempen mereka.

"Mereka asyik bercakap mengenai enam peratus GST tetapi tidak pernah jelaskan yang cukai jualan dimansuhkan dan cukai pendapatan diturunkan.

"Sebab itu saya tidak teragak-agak menghalang ahli politik dari Semenanjung yang cuba meracuni fikiran rakyat Sarawak, masuk ke negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 4:40 PM