KAPAL tangki yang ditahan APMM di perairan Tanjung Ayam, Kota Tinggi.
Oleh Isma Ismail

Kota Tinggi: Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati tidak membayar dius api, berlabuh tanpa kebenaran serta gagal melaporkan ketibaan kapal di perairan Tanjung Ayam, Kota Tinggi, petang semalam.

Kapal Mt Sarana Petro 1 yang didaftarkan di Bitung, Indonesia ditahan kira-kira 6 petang selepas bot ronda APMM mengesannya sedang bersauh di kedudukan tiga batu nautika di tenggara Tanjung Ayam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata, sembilan anak kapal terdiri daripada warga Indonesia yang berusia antara 20-an hingga 50-an turut ditahan.

Menurutnya, kapal berkenaan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu bersauh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:06 PM