Swansea, England: Juergen Klopp (gambar, kanan) mengakui banyak yang perlu dipelajari pemain muda Liverpool selepas skuadnya yang lemah tewas 1-3 kepada Swansea.

Dua gol daripada Andre Ayew dan satu daripada Jack Cork di Stadium Liberty kelmarin sudah cukup untuk mengesahkan Swansea selamat daripada penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

Christian Benteke menjaringkan gol saguhati Liverpool, namun skuad Klopp dibelasah teruk dalam perlawanan yang diselang-seli dengan perlawanan penting Liga Europa menentang Villarreal pada aksi separuh akhir.

Liverpool kini mengalih tumpuan untuk memperbaiki defisit 0-1 pada separuh akhir kedua menentang kelab Sepanyol itu awal pagi Jumaat di Anfield dan Klopp segera menjelaskan pemain muda yang dibawa masuk ke dalam pasukan berikutan pertukaran lapan pemain masih belum cukup mantap.

“Persembahan mereka berbeza ketika menentang Bournemouth. Kami tidak bermain sebaik diinginkan dan persembahan kami tidak sebaik seperti sebelumnya,” kata Klopp.

“Kami cuba membawa pemain baharu seperti yang pernah dilakukan beberapa minggu lalu namun saya kecewa kerana kami sepatutnya bermain lebih baik.

“Jika kami bermain hampir ke tahap 100 peratus, keputusannya pasti berbeza.

“Dua gol pertama itu terlalu mudah, mereka berhak menang dan kami berhak tewas. Namun aksi kami dipertanggungjawabkan untuk keputusan itu dan kami perlu bangkit dan bersiap sedia untuk perlawanan besar pada Khamis.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 9:16 AM