Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Tiga suspek militan termasuk dua kakitangan kerajaan berusia 23 hingga 36 tahun ditahan sepasukan polis dari Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Bukit Aman di sekitar ibu negara dan Kedah pada 27 dan 28 November lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas di Syria.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dua suspek juga penjawat awam yang berkhidmat di Kuala Lumpur itu dipercayai terbabit dalam menyalurkan dana kepada beberapa rakyat Malaysia yang ingin menyertai kumpulan militan Negara Islam di Syria.

"Seorang daripada suspek yang berusia 36 tahun dikesan telah menyertai kumpulan militan itu sejak 28 Disember 2013 dan kembali ke Malaysia pada 8 April lalu," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah bab VIa, kesalaham berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 4:34 PM