GAMBAR fail, seorang mangsa di bawa keluar dari runtuhan sebuah bangunan pada 18 April lalu selepas gempa bumi melanda Ecuador.
Agensi

Quito: Seorang lelaki berusia 72 tahun ditemui masih hidup dalam timbunan runtuhan bangunan, hampir dua minggu selepas gempa bumi melanda Ecuador.

Pejabat kedutaan Venezuela di Quito berkata dalam satu kenyataan, Manuel Vasquez ditemui pasukan pencari negara itu yang membantu usaha menyelamat.

Vasquez terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Ecuador, menyebabkan 660 orang terbunuh.

“Mereka menemui Vasquez di bawah runtuhan bangunan ketika menjalankan pemeriksaan pada struktur bangunan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Gempa bumi pada 16 April itu, yang terburuk melanda Ecuador sejak puluhan tahun lalu, menyebabkan bangunan runtuh dan mengakibatkan kerosakan jalan serta infrastruktur pelancongan di sepanjang pantainya.

Vasquez dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:23 AM