Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Pasir Gudang: Enam belas keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Sungai Rinting C Masai di sini semalam akan dipertimbangkan untuk dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Seri Setulang Johor Bahru atau di Bandar Seri Alam Masai.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi meringankan beban mangsa, kerajaan akan memberi bantuan sebanyak RM100 kepada 76 orang daripada 16 keluarga berkenaan.

"Sebanyak RM7,600 diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) dengan setiap seorang daripada 16 keluarga terbabit menerima RM100 sebagai bantuan makanan.

"RM1,000 pula diberikan kepada 10 ketua keluarga yang sudah mengisi dokumen lengkap selain bantuan beras serta barangan keperluan lain turut diberikan kepada mangsa.

"Buat masa ini mereka ditempatkan sementara di surau di kampung ini dan mereka akan dipindahkan ke PPRT berhampiran," katanya selepas melawat mangsa kebakaran di Balairaya Kampung Sungai Rinting C di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 12:44 PM