BEKAS pemandu teksi, Radzali Attan (berkerusi roda) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas tuduhan menerima rasuah RM1,000 daripada seorang pemandu teksi tahun lalu. FOTO Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Bekas pemandu teksi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM1,000 daripada seorang pemandu teksi, tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Radzali Attan, 55, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Radzali yang hadir berkerusi roda itu didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd Yunos Wahab sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes kesalahan dilakukan lelaki itu mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 10:29 AM