IBRAHIMOVIC (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Paris: Paris Saint-Germain menyamai rekod mata tertinggi yang pernah mereka catat dalam saingan Ligue 1 musim 2013-14 selepas mengatasi Rennes 4-0 sekali gus membolehkan mereka mengumpul 89 mata dengan baki tiga perlawanan sebelum musim ini ditamatkan.

Maxwell meledak gol pembukaan lima minit selepas rehat di Parc des Princes sebelum Zlatan Ibrahimovic menghasilkan dua gol bagi membolehkan catatan jaringannya meningkat kepada 34 musim ini.

Edinson Cavani menambah gol keempat pada masa kecederaan dan ia adalah kemenangan ke-28 PSG musim ini dan mengatasi rekod yang dilakar dua musim lalu.

Dengan baki perlawanan PSG ialah menentang Gazelec Ajaccio, Bordeaux dan Nantes, skuad kendalian Laurent Blanc itu berpeluang cerah untuk mencatat satu lagi rekod liga domestik yang selama ini didominasi pasukan berpangkalan di Paris itu.

Rennes pula gagal mencatat sebarang kemenangan sepanjang empat perlawanan dan impian untuk ke Eropah dilihat semakin sukar. Kekalahan itu membuatkan kelab Brittany ketinggalan satu mata di belakang Lille dalam perebutan untuk menamatkan musim di tangga keenam sekali gus membolehkan mereka beraksi di Liga Europa.

Penguasaan PSG bermula sejak wisel permulaan tetapi cubaan Ibrahimovic dan Angel Di Maria berjaya diselamatkan penjaga gol Benoit Costil.

Tetapi PSG membuktikan kemampuan mereka selepas rehat apabila Maxwell mudah memperdayakan pertahanan Rennes Joris Gnagnon sebelum membuat rembatan yang gagal ditepis Costil.

Ibrahimovic dan Di Maria berterusan mengasak kubu lawan dan empat minit kemudian, bintang Sweden itu menjarakkan kedudukan hasil hantaran lintang pemain Argentina berkenaan.

Cubaan Cavani tidak lama kemudian sekadar singgah di palang dan Costil sibuk menepis cubaan Ibrahimovic, Javier Pastore serta Lucas.

Begitupun, tidak ada apa yang mampu dilakukan penjaga gol Rennes untuk mengekang cubaan Ibrahimovic yang menghasilkan gol ketiga perlawanan ketika permainan berbaki 12 minit.

Marco Verratti yang menggantikan Benjamin Stambouli, membuat hantaran yang mudah disudahkan Cavani untuk gol keempat PSG pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 8:19 AM