SYAFIQ, Uqasha tidak campur kerjaya dan peribadi hingga boleh bermasam muka.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Sehingga kini, kisah putus cinta antara Syafiq Kyle dan Uqasha Senrose masih menjadi bahan perbualan. Pasangan itu sudah berpisah namun timbul khabar angin mengatakan hubungan mereka kembali bertaut ketika digandingkan dalam telefilem Ally Akashah.

Pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu dan menegaskan perasaan yang ada terhadap pelakon jelita terbabit sekarang ini tidak lebih sebagai rakan artis saja.

Kata pelakon siri Married Tapi Benci dan ditayangkan di TV3 itu sedar namanya mula menjadi sebutan selepas kontroversi putus cinta dengan Uqasha, namun dia berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan aktres itu.

“Sudah tidak ada apa-apa lagi yang saya boleh katakan mengenai hubungan kami. Ia adalah kisah lama yang tidak perlu diulang cerita. Adalah lebih baik kita biarkan perkara dulu berada pada tempatnya tanpa dibawa ke masa depan.

“Saya tidak mahu cerita peribadi mendapat perhatian lebih berbanding kerjaya lakonan. Saya masuk dalam industri seni bukan mahu tonjolkan kisah cinta tetapi ingin membuktikan keupayaan saya sebagai pelakon,” katanya.

Walaupun harapan untuk bersama Uqasha selama-lamanya tidak kesampaian, jejaka berusia 24 tahun itu tidak menolak andai sekali lagi berlakon bersama wanita itu sama ada menerusi drama mahupun telefilem seperti dilakukan dalam Ally Akashah.

Katanya, dia akan bersikap profesional dan tidak sekali-kali mencampur aduk kerjaya dan peribadi. Tambahan pula antara mereka tidak timbul masalah sehingga membuatkan kedua-duanya bermasam muka.

Bagaimanapun, Syafiq berharap perjalanan kerjaya seninya yang bermula 2011 akan terus menyerlah.

Tambahan pula selepas isu putus cintanya dengan Uqasha ditutup, Syafiq akui lebih tenang dan selesa disebabkan cerita peribadinya tidak lagi diperkatakan sebaliknya hanya lakonan menjadi perhatian.

“Saya sibuk dengan penggambaran. Saya kini lebih gembira kerana tumpuan diberikan pada kerja dan tidak hal lain. Andai suatu hari nanti saya kembali bercinta, saya akan tetap berkongsi dengan rakan media mahupun peminat. Tapi untuk bercerita lebih mungkin tidak.

“Kalau boleh selepas ini saya tidak mahu ada gosip timbul. Bagi saya, gosip tidak baik untuk kerjaya. Apatah lagi untuk pelakon yang masih bertatih seperti saya. Pada masa akan datang, saya tidak lagi akan bercerita mengenai cinta,” katanya.

Mengakui masih belum bertemu pengganti Uqasha, Syafiq bagaimanapun menafikan dirinya trauma dengan cinta selepas hubungannya dengan pelakon jelita itu gagal.

Dia juga tidak kisah andai kekasihnya selepas ini juga daripada kalangan penggiat seni. Katanya, semua itu berbalik pada diri sendiri.

“Saya tidak serik untuk mencintai dan membina hubungan dengan seseorang. Sama ada pelakon atau pun bukan, itu bukan perkara utama. Sebaliknya diri kita sendiri menentukan sejauh mana kita bersedia memberi komitmen pada hubungan itu,” katanya.

Sepanjang kariernya, Syafiq banyak memilih watak sebagai remaja dan belia. Bukan tidak mahu mencuba watak matang, sebaliknya menegaskan biar ia dilakukan seiring dengan usianya.

Dia melihat cara lakonan pelakon di Hollywood yang selalunya melakonkan watak sesuai dengan usia mereka. Kata Syafiq, perkara itu lebih realistik dan pada masa sama ia memberikan waktu padanya untuk belajar lebih banyak.

“Saya baru 24 tahun, kalau boleh saya mahu lakonkan watak yang dalam lingkungan usia saya ketika ini. Saya akan dapat menjiwai karakter itu dengan lebih baik kerana secara realiti saya sedang alami perkara itu.

“Kalau diberikan watak lelaki berusia 35 tahun, saya tidak tahu bagaimana kehidupan mereka kerana pada satu sisi tertentu mereka sudah matang dan kehidupan mereka tidak sama dengan mereka yang baru berusia 25 tahun,” katanya.

Mengagumi Matt Damon dan Leonardo DiCaprio, dia tidak risau kaedah itu akan membataskan lakonan dan sekali gus membuatkan dia lambat dikenali. Kata Syafiq, dia percaya rezeki akan tetap datang.

“Lihat saja Dicaprio, dia mengambil masa yan lama sebelum memenangi Oscar di Anugerah Academy. Saya tidak mengejar populariti. Saya mencari kepuasan dalam berkarya. Kalau boleh, saya mahu berlakon sampai mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 7:08 AM