Berlin: Bayen Munich kendalian Pep Guardiola (gambar) boleh muncul kelab pertama menjuarai empat gelaran Bundesliga berturut-turut dengan menewaskan Borussia Moenchengladbach malam ini biarpun ‘terganggu’ dengan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Bayern mendahului tujuh mata dengan baki tiga perlawanan dan kemenangan ke atas Gladbach di laman Munich, Arena Allianz akan mengesahkan gelaran Jerman keempat berturut-turut, satu pencapaian yang gagal dilakukan pasukan lain sebelum ini.

Namun, Bayern masih merawat kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara.

Guardiola dikritik media Jerman (“Adakah Pep mensia-siakan peluang terakhir Bayern?’, soal Bild”), selain bekas jurulatih Bayern Ottmar Hitzfeld (“taktiknya tidak menjadi”), berikutan pemilihan pemainnya.

Thomas Mueller, penjaring terbanyak Bayern di Eropah dan Franck Ribery masing-masing bermula di bangku simpanan menyebabkan Bayern perlu bekerja lebih keras untuk perlawanan timbal balik di Munich minggu depan.

Guardiola tertawa apabila ditanya jika beliau perlu merehatkan beberapa bintang ketika menentang Gladbach.

“Kami masih perlukan satu lagi kemenangan, kami mempunyai beberapa hari untuk membuat persediaan dan kemudian berdepan Atletico tiga hari kemudian. Kami perlu menang ke atas Gladbach dahulu.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 10:42 AM