SEBUAH bot turut menyertai usaha mencari mangsa di tempat kejadian.

Oslo: Semua 13 orang dalam sebuah helikopter yang terhempas di barat Norway semalam terbunuh.

Helikopter itu membawa pekerja dari telaga minyak luar pantai di Laut Utara ketika terhempas sekitar waktu tengah hari berhampiran Bergen, bandar kedua terbesar Norway.

Beberapa mayat dilaporkan sudah ditemui, lapor akhbar tempatan yang memetik pegawai polis, Morten Kronen.

Jurucakap pusat penyelamat Sola, Anders Bang Andersen berkata: rangka pesawat berkenaan juga sudah ditemui.

Katanya, helikopter itu dalam perjalanan ke lapangan terbang Flesland di Bergen dan membawa 13 penumpang termasuk dua krew.

Beberapa saksi melihat helikopter itu menjunam sebelum terdengar letupan kuat. Mereka turut melihat orang di dalam laut.

“Saya terdengar letupan kuat dan bunyi pelik seperti enjin menyebabkan saya menjenguk ke luar tingkap.

“Saya melihat helikopter itu menjunam ke dalam laut sebelum berlaku letupan besar dan serpihan helikopter berterbangan,” kata seorang wanita kepada akhbar tempatan, Bergensavisen.

Sementara itu, Perdana Menteri Erna Solberg berkata di Twitter: “Berita buruk mengenai nahas helikopter.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 9:13 AM