Civil War saingi kutipan Avengers: Age of Ultron.
Susunan Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


New York: Filem Captain America: Civil War meraih kutipan sebanyak USD14.9j (RM58.15 juta) selepas dua hari tayangan di 15 negara.

Sekuel ketiga terbitan Marvel Studios itu turut mencatat kedudukan pertama di pawagam Eropah dan Asia.

Walt Disney Studios selaku pengedar Captain America: Civil War dalam kenyataanya berkata jumlah itu hampir menyamai kutipan filem Avengers: Age of Ultron pada tahun lalu.

"Captain America: Civil War mendapat sambutan luar biasa di Korea Selatan dengan kutipan jualan mencecah RM16.76 juta, diikuti Perancis, Filipina, Taiwan, Thailand dan Hong Kong," katanya.

Menurut Disney, menjelang Ahad ini, filem arahan Anthony dan Joe Russo itu akan ditayangkan di 63 peratus pasaran antarabangsa.

"Semalam, filem ini sudah menemui peminatnya di beberapa negara - Jerman, Australia, Brazil, Austria, Denmark, Belanda, Portugal, Malaysia, Singapura, Panama, Peru, Bolivia, Chile dan Colombia," katanya.

Sebelum ini, pakar analisa mensasarkan Captain America: Civil War memperolehi kutipan jualan RM779.63 juta dalam tempoh lima hari tayangan di pasaran antarabangsa.

Filem itu dibintangi oleh Scarlett Johansson, Sebastian Stan, Anthony Mackie, Don Cheadle, Jeremy Renner, Chadwick Boseman, Paul Bettany dan Elizabeth Olsen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 10:30 PM