Fathi Munzir dikawal ketat anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh bagi pendakwaan. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang lelaki didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan merosakkan patung berhala di kuil Sree Muneswaran Aman Kovil di Jalan Hospital Ipoh dan memiliki senjata berbahaya pada 24 April lalu.

Tertuduh Fathi Munzir Nadzri, 29, didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merosakkan patung berhala di dalam kuil berkenaan pada 5 petang 24 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah parang pada waktu dan tempat yang sama.

Fathi Munzir yang juga graduan perubatan bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Yusaini Amer Abdul Karim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili peguambela Mohamad Hafiz Jalaludin dan Mior Fadhli Mior Shaifuddin.

Pihak peguambela kemudian meminta mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan bukan perruduhan yang tidak boleh dijamin.

Yusaini kemudian meminta mahkamah supaya membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Ikmal Hisham membenarkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan kesihatan selama sebulan dan juga memberikan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mei ini bagi mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 4:46 PM