XPDC yang dianggotai (dari kiri) Eddie, Izo, Ali dan Lola.
MAY yang dianggotai Mus (tiga dari kanan), Abu (kanan) dan Yus (dua dari kanan) berjanji memberikan persembahan terbaik.

“Berdosa saya jika tidak hadir,” kata penyanyi XPDC, Mael mengenai Konsert Rentap Kasi Sentap - MAY VS XPDC yang akan berlangsung di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru, Ahad ini.

Mael berkata, dia sudah bersedia sejak awal dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat peminat setia XPDC.

“Saya tahu macam-macam orang bercakap mengenai saya, tetapi saya berjanji tidak akan mungkir janji,” katanya.

Penyanyi yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi itu baru-baru ini mencetuskan tanda tanya apabila ‘hilang’ hingga hampir menarik diri daripada konsert ini.

Terbaru, Mael bersama dua rakannya didakwa di Mahkamah Majistret Muar, Johor atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines pada Mac lalu.

Sebelum itu, Mael juga pernah mencetuskan kontroversi di Konsert Rockestra XPDC Aku Masih Di Sini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu apabila hanya muncul sejam selepas konsert sepatutnya bermula.

Konsert Rentap Kasi Sentap - MAY VS XPDC turut menyaksikan gabungan dua kumpulan XPDC yang ‘bersengketa’ merebut nama XPDC, baru-baru ini.

Selain XPDC yang diterajui Mael bersama Zuar (bass), Amy (dram) dan Jeff (gitar), ia turut menampilkan XPDC yang diterajui Izo (gitar), Ali (penyanyi), Lola (dram) dan Eddie (bass).

Pastinya ia sesuatu yang dinanti-nanti apabila pertama kali menggabungkan dua XPDC yang sebelum ini dilihat tidak begitu ‘mesra’.

Dalam pada itu, MAY yang dibarisi Mus (penyanyi), Abu (gitar), Yus (bass) dan Man (dram) serta cukup berpengalaman dalam muzik rock pastinya tampil dengan persembahan menarik menerusi lagu popular mereka seperti Pelayaran, Dari Kaca Mata, Sendiri dan Cintamu Mekar Di Hati.

Sementara itu, siri jelajah promosi di beberapa bandar di Johor seperti Muar, Segamat, Kluang dan Pasir Gudang, baru-baru ini turut mendapat sambutan hangat.

Pengarah Urusan Ard Management selaku penganjur konsert, Mayo berkata, dia gembira dengan komitmen daripada Mus, Mael dan Ali yang hadir di semua lokasi jelajah promosi itu.

“Saya kagum dengan semangat mereka memandangkan jarak perjalanan ke bandar itu agak jauh dan meletihkan. Saya percaya kesungguhan Mus, Mael dan Ali juga dapat diterjemahkan pada hari konsert nanti,” katanya.

Mayo berkata, dia juga lega kerana tiket berharga RM30, RM50, RM100 dan RM700 mendapat sambutan amat menggalakkan.

Konsert akan bermula pada jam 8.30 malam dan tiket masih boleh dibeli di tapak konsert.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:01 AM